Isnin, 24 November 2014 | 2:39pm
PELANTAR minyak.
PELANTAR minyak.

Kerajaan campur tangan jika harga minyak dunia naik melampau

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan campur tangan jika harga minyak mentah dunia naik terlalu tinggi bagi mengurangkan kesan terhadap petrol RON95 dan diesel, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong.

"Bagaimanapun, mekanisme campur tangan itu belum dimuktamadkan dan proses penilaian yang dilaksana oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan masih berlangsung," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Pasaran Modal Malaysia Ke-19, di sini hari ini.

Chua berkata langkah kerajaan membiarkan kuasa pasaran menentukan harga bahan api menerusi kaedah pengapungan terkawal bertujuan membolehkan pengguna menikmati trend penurunan harga minyak global sekarang.

Mekanisme pengapungan terkawal itu yang akan dikuatkuasa 1 Disember ini diumum Jumaat lepas, menggantikan pelan awal kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar mengikut pendapatan. "Dengan harga minyak semasa yang rendah, jika tidak diumumkan pengapungan bermakna kerajaan harus mengenakan cukai terhadap petrol. Ini bukan yang mahu kita capai," katanya.

Sebagai perbandingan, Chua berkata Indonesia mengenakan harga RM2.35 seliter bagi petrol bergred rendah RON88 manakala premium RON92 dan RON95 masing-masing pada RM2.70 dan RM3.20 seliter, iaitu jauh lebih tinggi berbanding di Malaysia, disebabkan cukai.

Beliau percaya harga minyak dunia tidak akan meningkat dalam masa terdekat, selain kenyataan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum juga tidak membayangkan pengurangan eksport. "Bagaimanapun, kami akan terus memantau perkembangan bagi memastikan pengapungan harga bahan api tidak menjadi beban tambahan kepada rakyat. Kerajaan juga memperuntukkan bajet subsidi sekitar RM37 bilion tahun depan.

"Jika ada trend kenaikan harga minyak, kerajaan akan meneliti mekanisme lain, sama ada menerusi subsidi atau bantuan, bagi memastikan rakyat tidak terjejas teruk," kata Chua.

Beliau berkata kejatuhan harga minyak dunia turut menyumbang kepada penjimatan antara RM10 bilion dan RM20 bilion setahun dari segi subsidi memandangkan setiap bulan RM2 bilion dibelanjakan untuk tujuan itu. - BERNAMA

Berita Harian X