Khamis, 2 Oktober 2014 | 4:22pm

Mekanisme subsidi minyak bersasaran mungkin disegerakan

Petronas, antara pemain utama peruncitan minyak di Malaysia. (Gambar hiasan)
Petronas, antara pemain utama peruncitan minyak di Malaysia. (Gambar hiasan)

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan mengurangkan subsidi petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen berkuatkuasa hari ini, mengisyaratkan pelaksanaan mekanisme subsidi minyak bersasaran mungkin disegerakan.

Harga petrol RON95 meningkat kepada RM2.30 seliter daripada RM2.10 seliter manakala diesel naik kepada RM2.20 seliter daripada RM2.00 seliter berkuatkuasa hari ini. Kenaikan terdahulu adalah pada 3 September 2013 dengan kadar kenaikan sama, 20 sen seliter sekali gus diterjemahkan dengan kenaikan sebanyak 10.5-11.1 peratus.

RHB Research berpendapat, kerajaan mungkin mengumumkan pelaksanaan skim itu dalam Bajet 2015 berikutan peningkatan harga minyak yang diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) semalam.

Bagaimanapun, dalam keadaan sekarang ramai juga yang mempertikaikan keperluan skim itu kerana beza harga minyak subsidi dengan harga pasaran hanya 28 sen seliter.

Justeru, antara kemungkinan yang ada adalah kerajaan mengekalkan subsidi 28 sen seliter sekarang dan menghapuskan terus kemudian apabila harga minyak terus menyederhana nanti, menjadikan RON95 dan diesel pada harga apungan pasaran sepenuhnya seperti RON97.

"Keadaan ini bermakna kerajaan akan bebas sepenuhnya daripada menanggung subsidi minyak," kata firma itu dalam nota penyelidikan di sini hari ini.

Bagaimanapun, jika kerajaan mahu meneruskan skim subsidi minyak bersasaran, ia mungkin terpaksa terus menanggung subsidi dalam tempoh lebih lama sekali gus lebih sukar untuk menghapuskan terus subsidi minyak pada masa depan.

Selain itu, mekanisme skim subsidi minyak bersasaran itu yang dikatakan akan berdasarkan paras pendapatan individu, menjadikannya sukar dan mahal untuk dilaksanakan.

Begitupun, kerajaan dikatakan komited ke arah pelaksanaan skim itu dengan spesifikasi mekanisme itu sedang dalam peringkat rumusan dan butirannya akan diumumkan tidak lama lagi, seperti yang dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar pada 4 September lalu.

Mengikut RHB Research, walaupun dengan pengurangan itu, kerajaan masih memperuntukkan RM21 bilion untuk subsidi RON95, diesel dan LPG tahun ini. Secara keseluruhan pada 2014, peruntukan untuk subsidi ialah RM39.4 bilion, turun daripada RM43.3 bilion pada 2013.

Dalam tempoh separuh pertama tahun ini, sejumlah RM18.2 bilion (46.1 peratus daripada peruntukan tahunan) sudah diperuntukkan, sekali gus perbelanjaan subsidi tahun ini tidak dijangka lebih daripada peruntukan.

Sementara itu, AllianceDBS Research pula berpendapat pengurangan subsidi RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter, membolehkan kerajaan mengurus defisit fiskal Malaysia kepada 3.5 peratus pada 2014 dan 3.0 peratus pada 2015.

Dengan menjangkakan risiko inflasi kekal tinggi, firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran indeks harga pengguna (IHP) yang menjadi ukuran bagi inflasi, pada 3.5 peratus bagi 2014.

"Peratusan subsidi bahan api kepada perbelanjaan operasi kerajaan semakin meningkat, daripada 5.6 peratus pada 2000 (RM3.17 bilion) kepada 13.4 peratus pada 2013 (RM28.9 bilion).

"Oleh itu, kami menjangkakan kerajaan memberi tumpuan terhadap pengurangan subsidi bahan api berikutan komposisi yang tinggi dalam operasi perbelanjaan dan tekanan yang semakin meningkat untuk menjadikan ekonomi lebih berdaya saing," katanya.

Berita Harian X