Khamis, 30 Oktober 2014 | 3:11pm
TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong. - Foto Mohd Fadli Hamzah
TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Kadar inflasi negara dijangka 4 hingga 5 peratus tahun depan

KUALA LUMPUR: Kadar inflasi negara dijangka berada pada kedudukan empat hingga lima peratus pada 2015 berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta langkah rasionalisasi subsidi.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong, berkata bagaimanapun kerajaan sentiasa memantau rapi perkembangan persekitaran luaran dan domestik bagi menilai kesannya terhadap pertumbuhan ekonomi dan kadar inflasi negara.

"Jika dilihat pada trend inflasi, pada keseluruhannya kadar inflasi adalah terkawal. Pada 2011, kadar inflasi didapati meningkat kepada 3.2 peratus disebabkan kesan kenaikan harga minyak mentah dan komoditi makanan yang ketara di pasaran dunia sejak pertengahan 2010.

"Malahan, kadar inflasi didapati sederhana kepada 1.6 peratus pada 2012 dan kekal rendah kepada 2.1 peratus pada 2013. Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2014, inflasi mencatatkan peningkatan sebanyak 3.3 peratus," katanya pada sesi soal jawab, persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) mengenai kadar inflasi negara pada 2015/2016 serta langkah kerajaan untuk mengawalnya supaya tidak membebankan rakyat.

Berkenaan langkah mengawal inflasi, Chua berkata, kerajaan melaksanakan beberapa usaha antaranya dengan menambah baik program Bantuan Rakyat 1Malaysia, meneruskan pemberian bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah serta meneruskan pelaksanaan Program Baucer Buku 1Malaysia.

Katanya, bagi membantu petani, penternak dan nelayan menambah pendapatan, mulai 2015 kerajaan akan membuka 65 Pasar Tani kekal dan 50 Pasar Ikan yang beroperasi setiap hari di beberapa lokasi terpilih.

"Langkah lain adalah meneruskan penyediaan alternatif barangan keperluan yang lebih murah melalui Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dengan menambah lagi 20 kedai di Semenanjung Malaysia serta menambah Klinik 1Malaysia.

"Kerajaan juga akan menguatkuasakan pelaksanaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Persaingan 2010 bagi meminimumkan keuntungan yang berlebihan dan menggalakkan persaingan perniagaan yang sihat," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X