Isnin, 20 Oktober 2014 | 2:31pm

Affin Research jangka inflasi 3.3 peratus pada Oktober

KUALA LUMPUR: Affin Hwang Capital Research menjangka kadar inflasi meningkat kepada 3.3 peratus pada Oktober susulan program rasionalisasi subsidi minyak.

Harga petrol gred RON95 baru-baru ini naik 9.5 peratus atau 20 sen daripada RM2.10 seliter kepada RM2.30 seliter manakala harga diesel sebanyak 10 peratus atau 20 sen daripada RM2.00 kepada RM2.20 seliter.

Firma penyelidikan itu berkata kadar inflasi meningkat daripada 3.3 peratus tahun ke tahun pada Ogos kepada 2.6 peratus pada September, sejajar jangkaan pasaran.

"Kos pengangkutan turun kepada 0.5 peratus tahun ke tahun pada September (5.5 peratus pada Ogos), terutama disebabkan kesan asas yang perlahan selepas kenaikan harga petrol pada bulan sama tahun lalu," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Mengikut firma penyelidikan itu, harga makanan yang menyumbang 30.3 peratus daripada jumlah indeks harga pengguna, turun daripada 3.3 peratus tahun ke tahun pada Ogos kepada 3.2 peratus pada September.

"Kami menjangka inflasi kekal pada sekitar 3.4 peratus pada 2014 berbanding 2.1 peratus pada 2013," kata firma penyelidikan itu.

Bagaimanapun, ke arah 2015, kadar inflasi negara dijangka meningkat kepada antara 4.0-5.0 peratus, berikutan pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan skim subsidi bersasar.

Pandangan itu turut dikongsi oleh firma penyelidikan lain.

RHB Research Institute berkata kesan daripada pelaksanaan GST, inflasi dijangka meningkat dengan ketara kepada 4.2 peratus pada 2015, naik daripada 3.4 peratus yang dianggarkan pada 2014, berbanding 1.6 peratus pada 2012.

"Mengurangkan inflasi ketika pertumbuhan perlahan menunjukkan bahawa tiada gesaan Bank Negara untuk menaikkan kadar faedah dalam masa terdekat," katanya.

Kedua-dua firma penyelidikan turut berpendapat kadar dasar semalaman (OPR) bank pusat akan berada pada 3.25 sepanjang tahun ini, bagaimanapun boleh dinaikkan sebanyak 25 mata asas pada 2015. - BERNAMA

Berita Harian X