Sabtu, 11 Oktober 2014 | 6:27pm

Bajet 2015 mesra pembeli rumah kali pertama - iProperty

KUALA LUMPUR: Dirangka dengan fokus menjadi ekonomi keperluan rakyat, Bajet 2015 yang diumumkan semalam menangani isu-isu pemilikan rumah pada harga mampu milik, kata laman web hartanah utama negara, iProperty.com Malaysia.

Memuji kerajaan kerana memperkenalkan lebih banyak skim untuk memenuhi peningkatan permintaan bagi perumahan mampu milik, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Georg Chmiel, berkata langkah-langkah yang diperkenalkan akan banyak membantu pembeli kali pertama yang mahu mencari hartanah.

"Skim pembiayaan sewa-beli, diperkenalkan bagi individu yang tidak dapat memperoleh pembiayaan bank di bawah skim PR1MA, adalah antara skim yang ramai rakyat Malaysia akan dapati ia memberi manfaat," katanya dalam satu kenyataan.

Data daripada Kaji Selidik Perumahan Jabatan Perangkaan 2013 menunjukkan bahawa 80 peratus daripada rakyat Malaysia memperoleh pendapatan kurang daripada RM6,900 sebulan dan tidak mampu membeli rumah berharga lebih daripada RM300,000.

"Menurut Perbadanan Pembangunan Negeri Selangor, terdapat 70 peratus kadar penolakan bagi pembeli kali pertama," kata Chmiel.

Beliau juga memuji kerajaan kerana memperkenalkan pelbagai langkah menambah baik pengangkutan awam di negara ini dengan pembinaan empat lebuh raya, menaik taraf laluan kereta api Pantai Timur, pembinaan laluan kedua MRT sejauh 56 kilometer dan juga projek LRT 3.

"Sebanyak empat puluh peratus responden kaji selidik kami mahu kerajaan menangani keperluan bagi pengangkutan awam yang lebih baik dan kami gembira keperluan ini telah ditangani," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X