Jumaat, 10 Oktober 2014 | 6:23pm

Ekonomi global dijangka tumbuh 3.9 peratus pada 2015

KUALA LUMPUR: Ekonomi global dijangka mencatat pertumbuhan sebanyak 3.9 peratus pada 2015, didorong oleh pertumbuhan perdagangan dunia dan peningkatan aliran pelaburan sebanyak 12.5 peratus kepada AS$1.8 trilion berbanding anggaran AS$1.6 trilion pada 2014.

Perkembangan ekonomi global dijangka bertambah kukuh pada 2015 susulan kombinasi langkah dasar fiskal dan monetari yang berterusan yang dilaksanakan oleh ekonomi utama bagi menggalakkan pertumbuhan.

Bagaimanapun, terdapat risiko yang boleh menggugat unjuran pertumbuhan ekonomi global, termasuk pembaharuan struktur yang tidak mencukupi dan kegagalan untuk menguruskan tekanan diinflasi di kawasan euro, kata Kementerian Kewangan dalam Laporan Ekonomi 2014/2015 dikeluarkan hari ini.

Laporan itu dikeluarkan sempena pembentangan Bajet 2015 hari ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga Menteri Kewangan.

Inflasi global dijangka kekal sederhana kerana jurang output yang besar di negara maju, manakala harga komoditi dijangka mencatat trend menurun.

Sementara itu, ekonomi dunia dijangka kekal mengalami trajektori pertumbuhan sederhana dan tidak setara pada 2014, disokong oleh peningkatan ekonomi di Amerika Syarikat dan United Kingdom berserta kadar perkembangan yang stabil, walaupun lebih perlahan dalam ekonomi berkembang pesat yang utama.

Pertumbuhan ekonomi global diunjur kekal stabil pada paras 3.3 peratus dengan pertumbuhan yang lebih kukuh di negara maju iaitu 1.8 peratus dan pertumbuhan yang lebih perlahan di negara membangun yang berkembang pesat sebanyak 4.5 peratus.

Sementara itu, pelaburan langsung asing dijangka meningkat 10.3 peratus kepada AS$1.6 trilion berbanding AS$1.5 trilion pada 2013 terutamanya didorong pelaburan di negara maju yang telah mula menunjukkan pemulihan.

Risiko terhadap pertumbuhan ekonomi global secara keseluruhannya lebih seimbang walaupun ke arah penurunan.

- BERNAMA

Berita Harian X