Jumaat, 10 Oktober 2014 | 5:05pm

Ekonomi Malaysia dijangka kekalkan momentum pertumbahan 2015

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan pada 2015, dipacu oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan pengukuhan sektor luar.

Menurut Kementerian Kewangan KDNK dijangka terus berkembang kukuh pada kadar antara lima peratus ke enam peratus pada 2015 memandangkan prospek ekonomi global yang bertambah baik dan dimantapkan lagi dengan langkah Bajet 2015.

Bagaimanapun, masih terdapat risiko luaran, termasuk pertumbuhan perlahan dan tidak seimbang di kawasan Euro, peningkatan tekanan deflasi dalam ekonomi maju, pertumbuhan lebih perlahan dalam pasaran negara membangun dan ketegangan geopolitik, demikian menurut Kementerian Kewangan dalam Laporan Ekonomi 2014/2015.

Laporan itu dikeluarkan hari ini sempena pembentangan Bajet 2015 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan. Menurut laporan itu, daripada sudut permintaan, pertumbuhan akan dipacu sektor swasta berikutan kejayaan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak beberapa tahun kebelakangan dalam menyediakan persekitaran kondusif untuk pengembangan aktiviti ekonomi swasta.

Pelaburan swasta akan kekal cergas dan dijangka mencatat pertumbuhan kukuh, disokong oleh pelaksanaan sedia ada Rancangan Malaysia ke-10, ETP dan GTP.

ETP menjana pelaburan ketara sejak dilancarkan pada 2010 dengan jumlah komitment pelaburan bernilai RM219.3 bilion, membabitkan 196 projek.

Projek ini dijangka menyumbang RM144 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) dan mewujudkan 437,816 peluang pekerjaan.

Dari sudut penawaran, semua sektor dijangka terus berkembang, dengan sektor pembuatan dan perkhidmatan kekal sebagai enjin pertumbuhan yang dipacu oleh aktiviti ekonomi domestik yang mampan dan aktiviti pembuatan berorientasikan eksport serta perkhidmatan berkaitan perdagangan yang lebih tinggi.

Kedudukan luaran Malaysia juga dijangka kekal kukuh selaras dengan prospek yang bertambah baik bagi pertumbuhan ekonomi global dan perdagangan, manakala akaun semasa dijangka kekal mencatatkan lebihan pada 2015.

Menurut Kementerian Kewangan dasar fiskal pada 2015 akan terus bertumpu kepada usaha untuk memperbaiki kedudukan fiskal kerajaan, di samping menyokong pertumbuhan ekonomi dan inisiatif pembaharuan.

Defisit pada 2015 dijangka terus berkurangkan kepada tiga peratus daripada KDNK, dengan pertumbuhan hasil yang melebihi perbelanjaan.

Jumlah perbelanjaan kerajaan pula akan terus stabil pada RM271.9 bilion manakala pendapatan dianggarkan lebih tinggi pada RM235.2 bilion.

Kerajaan terus komited untuk meneruskan dasar fiskal yang kukuh dan telah mengambil pendekatan pelbagai serampang ke arah mencapai bajet berimbang pada 2020.

Inisiatif ini termasuk pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), perakaunan akruan dan Belanjawan Berasaskan Hasil serta pelaksanaan mekanisme subsidi bahan api yang lebih bersasar.

Sementara itu, kerajaan akan mengehadkan hutang di bawah 55 peratus daripada KDNK di samping memastikan hasil yang lebih tinggi untuk menampung perbelanjaan operasi.

Kerjasama erat antara agensi akan terus diperkukuh dalam pelaksanaan program untuk mengelakkan pembaziran dan pertindihan serta mengoptimumkan penggunaan aset awam.

Inflasi pula dijangka kekal terkawal walaupun menunjukkan peningkatan arah aliran melebihi purata jangka panjang, sebahagiannya disebabkan oleh pelaksanaan CBP dan kesan daripada rasionalisasi subsidi minyak pada awal Oktober 2014.

Bagaimanapun, berdasarkan harga luaran yang dijangka perlahan, kesan CBP ke atas inflasi akan bersifat sementara dan pertumbuhan dianggar kembali normal pada 2016 setelah faktor kos domestik menurun.

Laporan itu turut menyentuh tentang Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) yang akan dibentangkan pada 2015 bagi mempercepat transformasi ke arah status negara maju.

Rancangan ini dijangka memberi tumpuan kepada mengukuhkan pertumbuhan, terutama sektor dalam perkhidmatan dan pembuatan, memanfaatkan modal insan, menggalakkan keusahawanan, memantapkan pengurusan alam sekitar, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan pembangunan secara inklusif.

RMK-11 juga akan menggalakkan sektor swasta menjadi lebih dinamik, terutama perusahaan kecil dan sederhana dalam meningkatkan sumbangan kepada ekonomi, demikian menurut Kementerian Kewangan.

- BERNAMA

Berita Harian X