Khamis, 21 Ogos 2014 | 2:49pm
RAKYAT Malaysia boleh bertindak bijak dalam menguruskan kewangan mereka untuk mengatasi masalah inflasi dan peningkatan kos sara hidup.
RAKYAT Malaysia boleh bertindak bijak dalam menguruskan kewangan mereka untuk mengatasi masalah inflasi dan peningkatan kos sara hidup.

Inflasi dijangka lebih 3 peratus 2014 - ahli ekonomi

KUALA LUMPUR: Ahli ekonomi menjangkakan inflasi akan kekal lebih tiga peratus tahun ini sejajar dengan gerak kerja berterusan rasionalisasi subsidi.

Pakar ekonomi AllianceDBS Research, Manokaran Mottain, berkata sasaran inflasi firma itu tidak berubah iaitu 3.5 peratus pada 2014, berikutan komitmen kerajaan untuk melanjutkan dasar merasionalisasi subsidi.

"Ia sama ada melalui mengurangkan subsidi bahan api atau melalui mekanisme baharu pemberian subsidi berperingkat.

"Jika dasar terbabit berhasil, harga pengguna dijangka meningkat lagi," katanya dalam satu nota hari ini.

Indeks Harga Pengguna Malaysia berkembang pada kadar yang lebih lambat iaitu 3.2 peratus tahun ke tahun pada Julai, merosot daripada 3.3 peratus pada Jun, menggambarkan arah aliran menyederhana harga pengguna daripada tahap tinggi baru-baru ini.

Sementara itu, inflasi teras kekal stabil pada 3.2 peratus, menunjukkan harga bukan makanan yang kekal tinggi manakala pada asas kumulatif, inflasi adalah pada 3.3 peratus dalam tujuh bulan pertama tahun ini.

"Walaupun pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh, iaitu 6.3 peratus pada separuh pertama 2014, kami tidak menjangka sebarang penyelarasan baru Kadar Dasar Semalaman (OPR) tahun ini," kata Manokaran.

OPRkini berada pada 3.25 peratus, berkuatkuasa Julai 2014.

Sementara itu, pakar ekonomi RHB Research, Peck Boon Soon dan Shafizal Shafaai, berkata inflasi dijangka berada pada tahap terendah dengan unjurannya pada kadar purata 3.0 peratus hingga 3.4 peratus pada 2014, berbanding 2.1 peratus tahun lalu.

"Berikutan bimbang memberi tekanan berlebihan ke atas inflasi, kerajaan menimbang memperkenalkan skim subsidi bahan api bersasaran, bukannya memotong subsidi bahan api secara langsung," katanya.

Bagaimanapun, inflasi dijangka meningkat lebih cepat pada 2015 apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksana pada April, kata mereka. - BERNAMA

Berita Harian X