Selasa, 2 Mei 2017 | 11:37pm

Manusia 'tertua' meninggal pada usia 146 tahun

LELAKI Indonesia yang dilaporkan sebagai manusia tertua di dunia, meninggal dunia pada usia 146 tahun - Foto REUTERS
LELAKI Indonesia yang dilaporkan sebagai manusia tertua di dunia, meninggal dunia pada usia 146 tahun - Foto REUTERS

SRAGEN (Indonesia): Lelaki Indonesia yang dilaporkan sebagai manusia tertua di dunia, meninggal dunia pada usia 146 tahun minggu ini, kata ahli keluarganya, hari ini.

Sodimejo, yang disapa Mbah Gotho oleh penduduk tempatan, dilahirkan pada Disember 1870, menurut kad pengenalan yang dikeluarkan oleh kerajaan dan dilaporkan media tempatan sudah disahkan oleh pegawai kerajaan di bandar Sragen, Jawa Tengah.

Media Indonesia melaporkan Sodimejo adalah insan tertua dunia, berdasarkan dokumen pengenalannya. Bagaimanapun Reuters tidak dapat mengesahkan usia sebenar Sodimejo.

Cucu Sodimejo berkata, lelaki tua itu dimasukkan ke hospital minggu lalu kerana keadaan kesihatannya yang semakin uzur.

"Masalahnya, dia tidak mahu makan atau minum," kata Suryanto, cucu Sodimejo.

Lelaki itu kemudian mendesak supaya dibawa pulang, dan meninggal dunia beberapa hari kemudian, kata Suryanto. Sodimejo ditanam di sebuah kawasan perkuburan tempatan semalam.

Berdasarkan Guinness World Records, Jeanne Calment, wanita Perancis adalah manusia yang paling panjang jangka hayatnya. Dia meninggal dunia pada 1997, ketika berusia 122 tahun. - REUTERS

Berita Harian X