Rabu, 22 March 2017 | 8:00am

Macedonia hadapi bantahan rakyat

SEKURANG-kurangnya 50,000 rakyat Macedonia membantah tindakan Parti Sosial Demokrat (SDSM) dan etnik Albania yang enggan membentuk kerajaan campuran dan dilihat sebagai ancaman kepada perpaduan di negara itu. - Foto AFP
SEKURANG-kurangnya 50,000 rakyat Macedonia membantah tindakan Parti Sosial Demokrat (SDSM) dan etnik Albania yang enggan membentuk kerajaan campuran dan dilihat sebagai ancaman kepada perpaduan di negara itu. - Foto AFP

SKOPJE: Sekurang-kurangnya 50,000 rakyat Macedonia dekat sini, membantah tindakan Parti Sosial Demokrat (SDSM) dan etnik Albania yang enggan membentuk kerajaan campuran dan dilihat sebagai ancaman kepada perpaduan di negara itu.

Bantahan berlaku ketika Pesuruhjaya Perkembangan Kesatuan Eropah (EU) Johannes Hanh berada di ibu negara Macedonia itu untuk lawatan.

EU mendesak Presiden Gjorge Ivanov meneliti semula keengganan beliau mengarahkan pemimpin SDSM, Zoran Zaev membentuk kerajaan campuran bersama etnik Albania.

Keputusan pilihan raya Disember lalu tidak meyakinkan apabila parti konservatif VMRO-DPMNE memenangi 51 daripada 120 kerusi di Parlimen - mendahului dua kerusi daripada SDSM.

Parti itu gagal mencapai persetujuan dengan parti etnik Albania, yang mempunyai peranan sebagai penentu.

Zaev mendapat sokongan daripada parti Albania yang memberinya 67 timbalan dalam perhimpunan serta membuka laluan untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, Ivanov yang rapat dengan VMRO-DPMNE berkata, beliau tidak akan memberi mandat kepada sesiapa yang menyokong dasar yang melemahkan kedaulatan, keutuhan wilayah dan kemerdekaan Macedonia

Beliau merujuk kepada permintaan kontroversi etnik minoriti yang disokong Zaev untuk menjadikan bahasa Albania sebagai bahasa rasmi di seluruh Macedonia.

Hanh dalam reaksinya menerusi laman Twitter menulis: 'Perlu kerajaan baharu segera. Tiada masa untuk tewas," - AFP

Berita Harian X