Isnin, 2 Januari 2017 | 8:15pm

32 maut dalam serangan bom kereta di Baghdad

SERANGAN bom kereta di kawasan padat penduduk di ibu kota Iraq hari ini. - Foto AP
SERANGAN bom kereta di kawasan padat penduduk di ibu kota Iraq hari ini. - Foto AP

BAGHDAD: Serangan bom kereta di kawasan padat penduduk di ibu kota Iraq hari ini, mengorbankan sekurang-kurangnya 32 dan mencederakan puluhan lagi.

Kebanyakan mangsa ialah buruh harian yang menunggu pekerjaan di persimpangan Kota Sadr, kawasan kejiranan Syiah di timur laut Baghdad yang kerap menjadi sasaran.

Gambar yang disiarkan media sosial sejurus selepas letupan menunjukkan asap hitam dan mangsa yang cedera parah dipindahkan.

Menurut polis, sekurang-kurangnya 32 terbunuh dan 61 cedera dalam letupan itu, serangan kedua terbesar di Baghdad dalam masa tiga hari.

Kelmarin, sekurang-kurangnya 27 maut dalam letupan berganda di pasar sibuk di tengah Baghdad, serangan paling buruk di kota raya itu dalam tempoh dua bulan.

Militan Daesh yang mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan itu, mendakwa 'jihad' itu mengorbankan 40 orang.

Daesh juga mendakwa melancarkan serangan di tengah Baghdad kelmarin. - AFP

Berita Harian X