Isnin, 17 Oktober 2016 | 6:33pm

10 maut letupan bom di Baghdad

BAGHDAD: Seorang lelaki meletupkan kereta dipenuhi alat letupan di pusat pemeriksaan keselamatan di selatan ibu negara Iraq, hari ini, menyebabkan 10 maut dan 25 lagi cedera, kata polis dan sumber perubatan.

Letupan berlaku ketika konvoi anggota separa tentera Syiah memandu melepaskan pusat pemeriksaan di Yusufiya, 15 kilometer ke selatan Baghdad.

Ia menyebabkan kematian dalam kalangan polis dan anggota tentera yang mengawal kedudukan, selain anggota Syiah dan penduduk awam.

Pengeboman berlaku ketika tentera Iraq melancarkan serangan di Mosul, bandar raya terakhir di bawah kawalan Daesh di Iraq.

Pergerakan militan itu meningkatkan serangan bom di kawasan dikuasai kerajaan tahun itu ketika ia hilang banyak kawasan kepada tentera Iraq yang dibantu Amerika Syarikat dan militia Syiah.

Kumpulan itu mendakwa melancarkan pengeboman trak pada Julai yang mengorbankan sekurang-kurangnya 324 orang di Karrada di Baghdad, terburuk di negara itu sejak pencerobohan diketuai Amerika yang menumbangkan Saddam Hussein pada 2003. - REUTERS

Berita Harian X