Sabtu, 17 September 2016 | 11:20pm

320,000 berarak bantah TTIP, CETA di Eropah

RIBUAN penunjuk perasaan berarak membantah rancangan perjanjian dagangan bebas dengan Amerika Syarikat (AS) dan Kanada di Berlin, Jerman. - Foto AP
RIBUAN penunjuk perasaan berarak membantah rancangan perjanjian dagangan bebas dengan Amerika Syarikat (AS) dan Kanada di Berlin, Jerman. - Foto AP

BERLIN: Puluhan ribu penduduk membuat bantahan di bandar raya Eropah hari ini berhubung rancangan perjanjian dagangan bebas dengan Amerika Syarikat (AS) dan Kanada yang dikatakan melemahkan demokrasi dan merendahkan keselamatan makanan, alam sekitar dan standard tenaga buruh.

Penganjur, kumpulan pakatan alam sekitar, kesatuan buruh dan parti pembangkang berkata, 320,000 orang mengambil bahagian dalam bantahan di tujuh bandar di Jerman termasuk ibu kota Berlin, Hamburg, Munich dan Frankfurt.

Polis meletakkan angka sekitar 180,000 orang.

Bantahan kecil turut dirancang di bandar Eropah lain termasuk Vienna dan Salzburg di Austria serta Gothenburg dan Stockholm di Sweden.

Di Berlin, penunjuk perasaan mengibarkan kain rentang "STOPP CETA - STOPP TTIP", satu lagi sepanduk bertulis "People over profits."

Bantahan itu bagi menentang Perjanjian Perkongsian TransAtlantik dan Pelaburan (TTIP) dengan AS dan Perjanjian Perdagangan Ekonomi Komprehensif (CETA) dengan Kanada, ketika ini sedang dirunding oleh pegawai atasan Kesatuan Eropah di seluruh Atlantik. - Reuters

Berita Harian X