Rabu, 2 March 2016 | 1:01am

Greece minta bantuan EU tampung 100,000 pelarian

Jurucakap kerajaan Greece, Olga Gerovassili ditemuramah pemberita.
Jurucakap kerajaan Greece, Olga Gerovassili ditemuramah pemberita.

ATHENS: Greece meminta bantuan hampir setengah bilion euro daripada Kesatuan Eropah (EU) dalam dana kecemasan bagi membantu menempatkan 100,000 pelarian, kata kerajaan semalam, memberi amaran kemasukan pendatang mengancam sumbernya yang dilanda krisis itu.

Jurucakap kerajaan Olga Gerovassili memberitahu media, negaranya sudah menyerahkan satu pelan kecemasan bernilai 480 juta euro (RM2.17 bilion) kepada Suruhanjaya Eropah bagi menangani kira-kira 100,000 pelarian.

"Kami tidak boleh menanggung beban semua pendatang yang datang ke sini. Ini adalah langkah sementara, perlu ada penyelesaian kekal di mana pelarian akan ditempatkan," katanya berikrar Greece akan menggunakan "setiap saluran diplomatik yang ada untuk mencari penyelesaian terbaik."

Dengan Austria dan Balkan mengehadkan jumlah pendatang memasuki negara mereka, ada peningkatan jumlah pelarian di sepanjang sempadan Greece-Macedonia ketika bot sarat pelarian terus tiba di pantai Greek dari Turki.

Athens memberi amaran minggu lalu ia mungkin terpaksa menampung sehingga 70,000 pelarian yang terkandas di negaranya.

Gerovassili berkata, ada 25,000 pendatang dan pelarian ketika ini di Greece dan Macedonia hanya membenarkan "puluhan" individu melepasinya setiap hari. - AFP

Berita Harian X