Isnin, 29 Februari 2016 | 10:40pm

Macedonia lepas gas pemedih mata, 70,000 pelarian terkandas

POLIS Macedonia melepaskan gas pemedih mata ketika sekumpulan 300 penunjuk perasaan Iraq dan Syria merempuh kepungan polis Greek dan berlari ke arah landasan kereta api untuk menembusi pagar berduri yang memisahkan sempadan Macedonia-Greece. - Foto Reuters
POLIS Macedonia melepaskan gas pemedih mata ketika sekumpulan 300 penunjuk perasaan Iraq dan Syria merempuh kepungan polis Greek dan berlari ke arah landasan kereta api untuk menembusi pagar berduri yang memisahkan sempadan Macedonia-Greece. - Foto Reuters

IDOMENI: Polis Macedonia melepaskan gas pemedih mata ketika sekumpulan 300 penunjuk perasaan Iraq dan Syria merempuh kepungan polis Greek dan berlari ke arah landasan kereta api untuk menembusi pagar berduri yang memisahkan sempadan Macedonia-Greece.

"Buka sempadan!" mereka menjerit, menyebabkan polis melepaskan gas pemedih mata menghalang pelarian terbabit daripada menyeberang.

Bantahan berang itu mengambil masa selama beberapa jam selepas Macedonia membenarkan kira-kira 300 pelarian Iraq dan Syria menyeberanginya sebelum menutup kembali sempadan.

Dengan Austria dan Balkan mengehadkan jumlah pendatang memasuki wilayah mereka, ramai pelarian berkumpul pelarian di sepanjang sempadan Greece-Macedonia.

Athens berkata, jumlah pendatang "yang terperangkap" di negaranya mungkin mencecah seramai 70,000 orang, bulan ini.

Ketika jumlah pelarian yang terkandas menunjukkan sedikit tanda berkurangan, Canselor Jerman, Angela Merkel, menyelar sekatan yang dikenakan Austria dan negara Balkan, yang dikatakannya boleh menyebabkan Greece yang dilingkari hutang berhadapan pula masalah pendatang. - AFP

Berita Harian X