Sabtu, 13 Februari 2016 | 10:03am

Warga Arab Israel desak pembebasan wartawan Palestin

TEL AVIV: Penduduk Arab Israel mengadakan tunjuk perasaan menyokong wartawan Palestin yang melancarkan mogok lapar selama 80 hari dan menuntut beliau dibebaskan segera daripada penahanan tanpa perbicaraan itu.

Wartawan AFP di bandar Afula di utara Israel berkata, ulama lantang, Raed Salah, menyampaikan khutbah Jumaat kepada ratusan jemaah solat yang diadakan di luar hospital, lokasi Mohammed al-Qiq ditahan dengan pengawasan.

"Berdoalah untuk kemenangan tahanan yang ditawan sebagai tebusan, ditindas dan ditahan tanpa sebab," kata Salah yang juga menantikan keputusan rayuan terhadap hukuman 11 bulan penjara atas tuduhan mencetuskan keganasan terhadap Israel.

Qiq, 33, wartawan rangkaian Almajd TV Arab Saudi, ditangkap di rumahnya di Ramallah pada 21 November lalu dan diletakkan dalam tahanan pentadbiran, prosedur di Israel yang membolehkan seseorang ditahan tanpa bicara tanpa had.

Beliau melancarkan mogok lapar sejak 25 November lalu bagi membantah penderaan dan layanan buruk yang diterima ketika soal siasat, menurut pertubuhan hak Palestin, Addameer.

Pada 4 Februari, Mahkamah Agung Israel menarik balik arahan penahanan pentadbiran tetapi beliau tidak boleh meninggalkan hospital.

Qiq membalas dengan menegaskan beliau akan terus mengadakan mogok lapar sehingga dibebaskan. - AFP

Berita Harian X