Selasa, 22 September 2015 | 2:09am

Letupan bom kereta di timur Baghdad, 12 terkorban

PENDUDUK setempat ketika berada di kawasan lokasi kejadian bom kereta di timur Baghdad. - Foto REUTERS
PENDUDUK setempat ketika berada di kawasan lokasi kejadian bom kereta di timur Baghdad. - Foto REUTERS

BAGHDAD: Satu letupan bom kereta mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang dan mencederakan 42 yang lain di Ameen, daerah Syiah di timur Baghdad, semalam, menurut sumber polis dan perubatan.

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab, namun kawasan Syiah sering menjadi sasaran militan Sunnah dari kumpulan Negara Islam (IS).

Kerajaan kini cuba membersihkan pemberontak daripada sebahagian besar kawasan utara dan barat negara itu, namun kejayaan melakukannya perlahan, terutamanya di Anbar, barat Iraq.

Ibu negara itu menyaksikan gelombang penculikan dan serangan ke atas pegawai kerajaan serta penduduk awam.

Awal hari sama, lelaki bersenjata menembak dan membunuh seorang pegawai tempatan bersama anaknya serta sepupu lelaki di pekan Tarmiya, kira-kira 25 kilometer di utara Baghdad, kata polis dan sumber perubatan.

Kerajaan Iraq berdepan kesukaran mengawal militan Syiah yang dilihat sebagai angkatan penting menentang IS atau mengawal geng jenayah melaksanakan pembunuhan kontrak, penculikan dan penyeksaan. - REUTERS

Berita Harian X