Ahad, 28 Disember 2014 | 11:37pm
KAUNTER AirAsia yang terletak di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Changi beroperasi seperti biasa walaupun salah satu pesawatnya QZ8501 dari Surabaya ke Singapura dipercayai hilang. - Foto BERNAMA
KAUNTER AirAsia yang terletak di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Changi beroperasi seperti biasa walaupun salah satu pesawatnya QZ8501 dari Surabaya ke Singapura dipercayai hilang. - Foto BERNAMA

QZ8501: Singapura tawar peranti pengesan bawah air bantu cari pesawat

SINGAPURA : Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) Kementerian Pengangkutan Singapura menawarkan kepada Indonesia dua pasukan pakar dan dua set peranti pengesan bawah air (ULB) bagi membantu usaha mencari pesawat AirAsia Indonesia, QZ8501 yang hilang.

Pesawat Airbus 320-200 bersama 162 orang di dalamnya terdiri daripada 149 penumpang Indonesia, 3 Korea Selatan, 1 Singapura, 1 Malaysia, 1 United Kingdom, 6 kru Indonesia dan 1 kru Perancis, dijadual tiba pada jam 8.30 pagi dari Surabaya, terputus hubungan dengan kawalan trafik udara Jakarta pada 7.24 pagi hari ini.

Dalam satu kenyataan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) menyatakan, kawalan trafik udara Singapura diberitahu mengenai terputusnya hubungan pada jam 7.54 pagi.

Pesawat itu berada dalam Wilayah Informasi Penerbangan Indonesia (FIR) bila hubungan terputus, lebih 200 batu nautika di sebelah tenggara sempadan FIR Singapura-Jakarta.

CAAS dan Pusat Pengurusan Krisis Changi Airport Group (CAG) telah diaktifkan serta merta dan telah bekerjasama rapat dengan pasukan pengurusan krisis syarikat penerbangan itu.

Pusat Penyelarasan Menyelamat (RCC) Singapura, dikendali CAAS dan dibantu oleh pelbagai agensi, termasuk Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) dan Tentera Laut Republik Singapura (RSN), telah menawarkan bantuan kepada BASARNAS, Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia, pada jam 9.30 waktu tempatan, pagi ini.

Menurut CAAS, pihaknya telah melancarkan sebuah pesawat C130 untuk operasi mencari hari ini.

Dua pesawat akan berlepas awal pagi esok untuk meneruskan operasi mencari.

CAAS akan juga menghantar seorang pegawai ke BASARNAS, di Jakarta untuk membantu penyelarasan dengan pihak berkuasa Indonesia.

Menjawab pertanyaan media, CAAS mengesahkan bahawa rakyat Singapura dalam pesawat itu ialah seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.

Dia menaiki pesawat bersama bapanya, seorang warga Britain.

Menteri Pengangkutan Singapura Lui Tuck Yew berkata: "Ini adalah saat-saat kesedihan bagi sanak saudara mereka dalam pesawat QZ8501. Kami melakukan yang terbaik untuk membantu semua waris terdekat (NOKs) di Kawasan Menunggu untuk Sanak Saudara (RHA). "

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga serta CAG menyediakan kaunselor dan pegawai kebajikan untuk membantu NOKs.

Staf lain dari CAG, AirAsia dan rakan lapangan terbang, serta pegawai dari Kedutaan Republik Indonesia di Singapura, juga membantu NOKs."

Aturan untuk penginapan tempatan atau bagi perjalanan ke Indonesia telah dilaksanakan untuk NOKs.

NOKs boleh menghubungi AirAsia Indonesia di +62 (21) 2985 0801 untuk maklumat lanjut.

Sementara itu, Kementerian Pengangkutan Indonesia menyatakan pasukan penyelamat yang menjalankan operasi di Laut Jawa bagi mengesan pesawat yang hilang menghentikan operasi menjelang malam tadi.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) berakhir pada 6.30 petang ketika hari semakin gelap dan cuaca buruk.

SAR akan disambung awal esok.

- BERNAMA

Berita Harian X