Rabu, 5 Julai 2017 | 12:00am

Pahang akur kongsi mata dengan Negeri Sembilan

PEMAIN Pahang, Sumareh Mohamadou dihalang pemain Negeri Sembilan, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim dalam saingan Piala Malaysia 2017 di Stadium Darul Makmur. - Foto NSTP/Zulkepli osman
PEMAIN Pahang, Sumareh Mohamadou dihalang pemain Negeri Sembilan, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim dalam saingan Piala Malaysia 2017 di Stadium Darul Makmur. - Foto NSTP/Zulkepli osman

KUANTAN: Pahang gagal mencari kemenangan ke atas pasukan Liga Perdana Negeri Sembilan apabila sekadar seri 2-2 pada saingan Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Keputusan itu sudah pasti menghampakan pengendali skuad Tok Gajah, Dollah Salleh yang sebelum itu turun dengan misi meraih tiga mata di laman sendiri.

Peluang awal skuad Tok Gajah diperoleh menerusi sentuhan Mohamadou Sumareh tetapi bola tandukannya sedikit tersasar pada minit ke-12, begitu juga cubaan pemain Negeri Sembilan, Khairul Anwar Shahrudin pada minit ke-19.

Dua minit sebelum tamat separuh masa pertama, Jonathan Henri Behe memastikan Negeri Sembilan mendahului tuan rumah 1-0.

Bersambung babak kedua, Pahang yang ketinggalan mempertajamkan jentera serangan dan hasilnya gawang lawan dibolosi Alves pada minit ke-58 dan minit ke-63 untuk tuan rumah selesa mendahului 2-1.

Ketika Pahang terus mengasak pelawat, pemain pertahanan Negeri Sembilan, Lee Andrew Tuck mengejutkan skuad Tok Gajah apabila menjaringkan gol penyamaan 2-2 pada minit ke-76.

Berita Harian X