Isnin, 3 Julai 2017 | 9:07am

Golf: Kang raih kejuaraan major LPGA pertama

CHICAGO: Danielle Kang dari Amerika Syarikat (AS) mencatat birdie di lubang ke-18 untuk mengatasi juara bertahan, Brooke Henderson sekali gus memenangi Kejuaraan PGA Wanita, kemenangan LPGA pertamanya, pagi tadi.

DANIELLE Kang memenangi Kejuaraan PGA Wanita, di Olympia Fields, Illinois. - Foto AFP
DANIELLE Kang memenangi Kejuaraan PGA Wanita, di Olympia Fields, Illinois. - Foto AFP

Kang, yang belum pernah menembusi kelompok 10 terbaik 30 kejohanan major sebelum ini, mencatat tiga bawah par 68 untuk menamatkan 72 lubang di lapangan Olympia Fields dengan 13 bawah par 271, satu pukulan di depan bintang remaja Kanada, Henderson.

Kelompok pemain Korea Selatan menghuni empat kedudukan seterusnya dengan Chella Choi di tempat ketiga (274), Lee Mi-Hyang, Amy Yang dan Kim Sei-Young berkongsi tangga keempat (275) serta Park In-Bee dan Lexi Thompson (AS) berkongsi tempat ketujuh pada 277 pukulan.

Kang, 24, dari San Francisco, adalah juara dua kali Wanita Amatur AS dan keputusan LPGA terbaiknya sebelum kejohanan ini adalah tempat ketiga pada tahun 2013.

Dalam penampilan major pula ialah berkongsi tangga ke-14 di Terbuka Wanita AS 2012.

Henderson, pemain 19 tahun yang sedang meningkat, turun berbekalkan kemenangan dua minggu lalu di Meijer LPGA Classic.

Choi, yang turut memburu kejuaraan major pertamanya, kali terakhir memenangi gelaran LPGA di Marathon Classic 2015. Keputusan major terbaiknya ialah berkongsi tangga kelima di kejohanan ini pada tahun 2015.

AFP

Berita Harian X