Jumaat, 23 Jun 2017 | 11:09am

Golf: Spieth dahului hari pertama Kejohanan Travelers

Jordan Spieth
Jordan Spieth

HARTFORD: Jordan Spieth mencatat pusingan pertama paling rendah 63 pukulan dalam kariernya untuk mendahului Kejohanan Travelers, awal pagi tadi.

Pemain 23 tahun itu, yang hadir selepas persembahan mengecewakan berkongsi tempat ke-35 di Terbuka AS, melakukan birdie kelapan pada lubang terakhir dan mendahului satu pukulan dalam kejohanan yang pertama kali disertainya itu.

Rory McIlroy yang turut bermain dalam kejohanan itu buat kali pertama, mencatat 67 pukulan selepas gagal melepasi had kelayakan di Terbuka AS, minggu lalu.

Berkongsi tempat kedua dengan 64 pukulan adalah Johnson Wagner dan Brett Stegmaier yang bermain lebih awal manakala Spieth beraksi di sebelah petang di lapangan par-70 River Highlands sejauh 6,841-ela itu.

Spieth yang menamatkan permainan dalam kelompok 10 terbaik dalam 15 kejohanan tahun ini, memukul tepat lapan daripada 14 fairway dan 15 daripada 18 green serta memerlukan 27 putt.

Juara major dua kali itu meneruskan momentum hari terakhir Terbuka AS dengan 69 pukulan, apabila menyempurnakan putt birdie dari jarak 15 kaki di lubang pertama.

"Pukulan pertama yang sempurna itu amat bermakna bagi saya," kata Spieth. "Selepas itu sekali lagi saya melakukannya di lubang 4 yang memerlukan ketepatan.

"Apabila bola itu masuk ke lubang, saya mula berasa selesa dengan putter."

Stegmaier, anak jati Connecticut yang gagal melepasi kelayakan dalam lapan daripada 10 kejohanan terakhirnya, membenam tujuh birdie dalam sembilan lubang pada pertengahan permainannya.

Sedikit kecacatan hanyalah bogey di lubang 9 dan terakhir, sekali gus menyamai pusingan terendah peribadinya dalam Jelajah PGA.

Wagner pula bermula garang, membenam chip dari jarak 69 kaki di green pertama, walaupun tampil selepas gagal melepasi had kelayakan dalam lima kejohanan terakhir disertainya.

"Cara paling baik untuk memulakan saingan, seolah-olah memberi isyarat bahawa ia akan menjadi hari yang baik bagi saya," kata Wagner.

Pemain Kanada, Graham DeLaet dan Troy Merritt melakukan 65 pukulan untuk berkongsi tempat keempat manakala pemain nombor tiga dunia, McIlroy terlepas peluang beberapa birdie tetapi masih mampu menyelamatkan par di kebanyakan lubang.

"Saya berpendapat saya sepatutnya boleh melakukan tiga atau empat pukulan lebih baik," kata McIlroy. "Rasanya ada lima atau enam putt yang sekadar singgah di sisi lubang tetapi tidak masuk."

Jim Furyk, yang melakukan 12 bawah 58 pada hari terakhir kejohanan tahun lalu, menduduki tempat tangga kelima dengan 67 pukulan manakala bekas pemain nombor satu dunia dari Australia, Jason Day bergelut dan sekadar melakukan 72 pukulan. - AFP

Kedudukan Pusingan 1 Kejohanan Travelers

63 - Jordan Spieth (AS)

64 - Johnson Wagner (AS); Brett Stegmaier (AS)

65 - Graham DeLaet (CAN); Troy Merritt (AS) 65

66 - Matt Every (AS); Scott Piercy (AS); Mark Hubbard (AS); Kevin Na (AS); Daniel Summerhays (AS); Beau Hossler (AS); Xander Schauffele (AS); Fabian Gomez (ARG); Hudson Swafford (AS); Padraig Harrington (IRL); Brian Harman (AS); Tom Hoge (AS); Boo Weekley (AS);

67 - Michael Kim (AS); David Hearn (CAN); An Byeong Hun (KOR); Juan Sebastian Munoz (COL); Robert Streb (AS); Patrick Reed (AS); Rod Pampling (AUS); Mackenzie Hughes (CAN); Rory McIlroy (GBR); Jim Furyk (AS); Keegan Bradley (AS); Harris English (AS); Morgan Hoffmann (AS); Steve Wheatcroft (AS); Cameron Percy (AUS); Wesley Bryan (AS); David Lingmerth (SWE); Bryson DeChambeau (AS); Joel Dahmen (AS)

Berita Harian X