Ahad, 28 Mei 2017 | 1:15pm

Simpson dahului hari ketiga golf Jemputan Dean & DeLuca

WEBB Simpson mencatat tiga di bawah par 67 untuk muncul selaku pendahulu hari ketiga golf Jemputan Dean & DeLuca Jelajah PGA di Texas. - Foto AP
WEBB Simpson mencatat tiga di bawah par 67 untuk muncul selaku pendahulu hari ketiga golf Jemputan Dean & DeLuca Jelajah PGA di Texas. - Foto AP

LOS ANGELES: Bekas pemenang golf Terbuka Amerika Syarikat (AS), Webb Simpson mencatat tiga di bawah par 67 untuk muncul selaku pendahulu hari ketiga golf Jemputan Dean & DeLuca Jelajah PGA di Texas, sebentar tadi.

Pemain AS berusia 31 tahun itu memimpin carta dengan kelebihan dua pukulan ke atas Paul Casey dan Danny Lee selepas tiga pusingan di Colonial Country Club, Fort Worth.

Simpson yang memenangi Terbuka AS pada 2012, mengumpul sembilan di bawah par 201 untuk menjarakkan diri selepas berkongsi kedudukan pendahulu hari kedua bersama tiga pemain.

"Pukulan saya banyak yang tepat ke dalam kawasan fairway," kata Simpson. "Ia memeningkan jika anda mula memukul ke dalam kawasan semak.

"Sekurang-kurangnya ia di bawah kawalan apabila bola masuk ke fairway, dan itu sebab mengapa ia kelihatan mudah. Ia sebenarnya tidak mudah."

Casey mencatat dua di bawah par 68 manakala Lee satu di bawah 69 tatkala dia kembali ke posisi kedua selepas berkongsi kedudukan hari kedua bersama Simpson, semalam.

Pemain AS, Stewart Cink (66) dan Kevin Kisner (70) terikat di tangga keempat manakala pemain Sepanyol, Jon Rahm dan Sean O'Hair (AS) empat pukulan di belakang Simpson.

Juara Masters, Sergio Garcia pula terikat di kedudukan kelapan bersama juara bertahan, Jordan Spieth dan tiga lagi pemain selepas mengumpul keseluruhan empat di bawah par 206.

- AFP

Keputusan:

201 - Webb Simpson 68-66-67

203 - Paul Casey (ENG) 69-66-68, Danny Lee (NZL) 70-64-69

204 - Stewart Cink 68-70-66, Kevin Kisner 67-67-70

205 - Jon Rahm (ESP) 66-69-70, Sean O'Hair 67-68-70

206 - Emiliano Grillo (ARG) 72-69-65, Bill Haas 69-69-68, Jordan Spieth 70-68-68, Sergio

Garcia (ESP) 69-66-71, Scott Piercy 68-66-72

207 - Charley Hoffman 72-68-67, Jonas Blixt (SWE) 70-69-68

208 - Sam Saunders 71-70-67, Kim Whee (KOR) 68-70-70, Graeme McDowell (NIR) 66-70-72

Berita Harian X