Ahad, 16 April 2017 | 9:52pm

Kerr juarai golf Kejuaraan Lotte Jelajah LPGA

Cristie Kerr rangkul gelaran Jelajah LPGA Amerika Syarikat yang pertama sejak 2015.
Cristie Kerr rangkul gelaran Jelajah LPGA Amerika Syarikat yang pertama sejak 2015.

KAPOLEI, Amerika Syarikat: Pemain golf Amerika Syarikat, Cristie Kerr memanfaatkan kesilapan Jang-sun Yeong di sembilan lubang terakhir untuk bangkit dan merangkul Kejuaraan Lotte Jelajah LPGA di sini, hari ini.

Pemain golf berusia 39 tahun itu bangkit daripada ketinggalan tiga pukulan pada pusingan terakhir apabila membenam 66 pukulan tanpa bogey, sekali gus gelaran Jelajah LPGA Amerika Syarikat yang pertama sejak 2015.

"Hari yang sungguh epik," kata Kerr yang menamatkan saingan dengan catatan 20 di bawah par 268.

"Saya tidak bermula dengan baik. Jadi saya kekalkan rentak dan cuba meraih beberapa birdie dalam permainan. Aksi pada sembilan lubang terakhir adalah begitu ajaib buat saya."

Situasi berbeza dialami Jang yang menyertai kejohanan terbabit menerusi jemputan daripada penganjur.

Dia yang memiliki kelebihan tiga pukulan di penghujung pusingan ketiga dan mendahului sebahagian besar permainan pusingan terakhir, membenam bogey berganda pada par tiga lubang kelapan dan bogey pada par lima lubang ke-14 untuk mencatatkan 17 di bawah par.

Kerr mendahului permainan selepas membenam tiga birdie berturut-turut pada sembilan lubang terakhir untuk mencatat 20 di bawah par.

Dua lagi pemain turut terikat di tangga kedua iaitu Lydia Ko dan Chun In-Gee. - AFP

Berita Harian X