Sabtu, 8 April 2017 | 10:49am

Masters: Garcia antara pendahulu, Willett tersingkir

 SERGIO Garcia(kiri) pemain dari Sepanyol mengharungi 73 aksi Major tanpa sebarang kemenangan berkongsi carta pendahulu bersama Rickie Fowler, Charley Hoffman dan Thomas Pieters selepas hari kedua kejohanan golf Masters, hari ini di Augusta, Georgia. - Foto AFP
SERGIO Garcia(kiri) pemain dari Sepanyol mengharungi 73 aksi Major tanpa sebarang kemenangan berkongsi carta pendahulu bersama Rickie Fowler, Charley Hoffman dan Thomas Pieters selepas hari kedua kejohanan golf Masters, hari ini di Augusta, Georgia. - Foto AFP

AUGUSTA, Amerika Syarikat: Pemain Sepanyol, Sergio Garcia yang mengharungi 73 aksi Major tanpa sebarang kemenangan berkongsi carta pendahulu bersama Rickie Fowler, Charley Hoffman dan Thomas Pieters selepas hari kedua kejohanan golf Masters, hari ini.

Keempat-empat pemain yang masih memburu gelaran Major pertama itu masing-masing mengumpul empat bawah par 140 dalam keadaan angin bertiup kencang di lapangan Augusta National selepas pusingan kedua.

"Ia seperti percubaan dan bertahan dan memastikan diri kamu tidak terkeluar daripada kejohanan dengan pemarkahan seperti minggu ini," kata Fowler.

Beberapa nama besar termasuk pemain ranking dua dunia, Rory McIlroy, juara Olimpik, Justin Rose dan bekas-bekas pemenang Masters, Adam Scott, Phil Mickelson dan Jordan Spieth pula ketinggalan lima pukulan.

"Saya teruja dengan cabaran yang akan diberikan pada hujung minggu ini dan berharap saya dapat mengatasi mereka dan mampu untuk berada di sana pada Ahad (hari terakhir) dengan peluang yang baik untuk menang," kata Garcia.

Ini kali pertama sejak 44 tahun lalu di Masters yang kebiasaannya berakhir pada Isnin kerana sering diganggu keadaan cuaca tidak menentu mempunyai pendahulu bersama paling ramai.

Garcia yang berharap untuk menamatkan kemarau gelaran Major membuka hari kedua dengan tiga birdie sebelum beraksi konsisten untuk berkongsi kedudukan.

"Ini mungkin permainan terbaik saya seleaps dua pusingan di Augusta," kata Garcia. "Saya rasa saya bermain dengan baik. Saya melakukan banyak pukulan put hebat."

Pemain Amerika Syarikat (AS) di ranking lapan dunia, Fowler melakukan eagle pada lubang kedua, menanam pukulan bunker dan menambah empat birdie untuk keseluruhan lima bawah par 67 pada hari kedua.

Pemain Belgium, Pieters yang cuba menjadi pemain pertama menjuarai Jaket Hijau pada penampilan sulung sejak 1979 melakukan 68.

"Ramai orang bercakap mengenai Augusta. Ia istimewa namun ia tetap satu lagi gelanggang saja," kata Pieters. "Kamu perlu bermain dalam keadaan angin kencang dan berhati-hati di mana kamu ingin lakukan pukulan."

Sementara itu, malang menimpa penyandang juara dari England, Danny Willett yang gagal melepasi cut dan menjadi penyandang juara pertama gagal melepasinya sejak Mike Weir melakukannya pada 2004.

Secara keseluruhan, 53 pemain berjaya melepasi cut iaitu tidak melebihi 150 pukulan dan antara yang tersingkir ialah pemain ranking lima dunia, Henrik Stenson. - AFP

Berita Harian X