Rabu, 29 March 2017 | 8:37pm

V Shem-Wee Kiong mara ke pusingan kedua Terbuka India

PASANGAN beregu lelaki negara, Goh V Shem (kiri) dan Tan Wee Kiong. - Foto Rosli Rahmat
PASANGAN beregu lelaki negara, Goh V Shem (kiri) dan Tan Wee Kiong. - Foto Rosli Rahmat

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong bermula cemerlang dalam misi kembali merampas status pasangan nombor satu dunia apabila mara ke pusingan kedua Terbuka India, sebentar tadi.

Pilihan pertama kejohanan itu mara selepas mengetepikan cabaran pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-17, 21-19 dalam aksi pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Siri Fort, New Delhi.

V Shem-Wee Kiong akan berdepan gandingan Tan Boon Heong-Hendra Setiawan bagi perebutan tempat ke suku akhir, esok.

Gandingan pemain dari Malaysia dan Indonesia itu turut melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan beregu India, Ketan Chahal-Tanveer Gill 21-15, 21-15.

Saingan Terbuka India kali ini menjadi antara satu medan buat V Shem-Wee Kiong untuk merebut status nombor satu dunia selepas dirampas pasangan Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo yang menjuarai Seluruh England, awal bulan ini.

Berita Harian X