Sabtu, 25 Februari 2017 | 11:23pm

Kelantan gagal tamat badi kekalahan

PEMAIN Kelantan, Mohamad Ghaddar (kiri) diasak pemain pertahanan Selangor, Victor Stelian Astafei dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi
PEMAIN Kelantan, Mohamad Ghaddar (kiri) diasak pemain pertahanan Selangor, Victor Stelian Astafei dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Kelantan gagal bangkit daripada badi dua kekalahan apabila tewas kepada Selangor 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, sebentar tadi.

Kekalahan The Red Warriors (TRW) itu adalah yang ketiga di laman sendiri, sekali gus gagal mengutip sebarang mata dalam misi mengejar kedudukan terbaik liga.

Kesungguhan skuad The Red Giants bermula di awal perlawanan dan berjaya mendapatkan jaringan pendahuluan pada minit ke-3 menerusi Juliano Mineiro Fernandes, hasil hantaran silang S Veenod yang menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Tersentak dengan jaringan awal pelawat, TRW bangkit melancarkan serangan menerusi hantaran jarak jauh Margaro Gomis kepada Muhamad Shahrul Hakim pada minit ke-16 tetapi sepakannya sedikit tersasar.

Sebaliknya, Selangor hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-29 apabila Victor Stelian Astafei membuat hantaran cantik kepada Adam Nor Azlin yang baru masuk menggantikan Francis Forkey Doe, namun sepakan leretnya ditepis keluar Khairul Fahmi Che Mat.

Kelekaan tuan rumah menyebabkan gawang hampir dibolosi pada minit ke-41 apabila hantaran Victor Stelian kepada Adam Nor Azlin yang membuat larian solo diselamatkan Khairul Fahmi untuk keputusan 1-0 kekal pada separuh masa pertama.

PEMAIN Kelantan, Indra Putra Mahayuddin diasak pemain Selangor, Muhd Syahmi Safari pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke IV malam ini. - Foto BERNAMA
PEMAIN Kelantan, Indra Putra Mahayuddin diasak pemain Selangor, Muhd Syahmi Safari pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke IV malam ini. - Foto BERNAMA

Bersambung babak kedua, Selangor yang mahu membawa pulang tiga mata dari gelanggang lawan terus mengasak kubu tuan rumah dan usaha itu berhasil dengan Juliano Mineiro Fernandes menjaringkan gol kedua hasil rembatan jarak jauh dan gol kedua peribadi pada minit ke-63.

Tuan rumah berpeluang memecah kebuntuan pada minit ke-67 menerusi Muhamad Shahrul Hakim tetapi sepakan dari luar kotak penalti tersasar biarpun penjaga gol Selangor, Mohd Khairul Azhan Khalid sudah tertewas.

Zahasmi membuat tiga pertukaran dengan memasukkan Mohd Badhri Radzi, Fakhrul Zaman dan Hattaporn Bun An bagi mengimbangi kekuatan pasukan pelawat tetapi kekebalan benteng Selangor diketuai Ugo Ukah menafikan setiap gerakan berbahaya Kelantan hingga ke wisel penamat.

Berita Harian X