Sabtu, 25 Februari 2017 | 6:21pm

Sarawak mampu jadi kuasa bola sepak negara

DATUK Amar Abang Johari Tun Openg (tengah) menandatangani plak sebagai gimik perasmian Kompleks Sukan Satok dan Karnival Futsal Petra Jaya, di Padang SLPAS. - Foto Nadim Bokhari
DATUK Amar Abang Johari Tun Openg (tengah) menandatangani plak sebagai gimik perasmian Kompleks Sukan Satok dan Karnival Futsal Petra Jaya, di Padang SLPAS. - Foto Nadim Bokhari

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg, yakin Sarawak akan kembali menjadi antara kuasa bola sepak negara dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Beliau menyuarakan keyakinan itu berdasarkan pelan pembangunan yang dirancang serta usaha berterusan untuk mencungkil bakat baharu menerusi pertandingan di peringkat negeri.

Abang Johari berkata, beliau yakin anak tempatan mampu memikul tanggungjawab untuk membawa Sarawak menjadi pasukan disegani dan ia terbukti dengan kejayaan pasukan Bandaraya Kuching yang dibarisi semua anak tempatan menjuarai edisi pertama Liga Bolasepak Rakyat (LBR), tahun lalu.

"Sekarang Kuching mewakili Sarawak dalam kejohanan Liga FAM dan pasukan utama negeri juga sedang beraksi dalam Liga Super. Kita mahu melihat peningkatan pencapaian kedua-dua pasukan ini.

"Dalam Liga Super, pasukan kita masih belum menunjukkan pencapaian memuaskan, namun saya percaya dengan perancangan teliti, kita mampu mengembalikan pasukan Sarawak sebagai pasukan disegani," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kompleks Sukan Satok dan Perasmian Kejohanan Futsal Petra Jaya yang turut dihadiri Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof di Kampung Patingan di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, menerusi pelan jangka panjang pembangunan bola sepak Sarawak, lebih banyak padang akan dibina dan fokus utama akan diberikan untuk mencungkil bakat anak tempatan di seluruh negeri.

Berita Harian X