Sabtu, 18 Februari 2017 | 11:10pm

Tok Gajah lanyak Harimau Kumbang

Penyerang Pahang FA, Sumareh Mohamadou (kanan) menewaskan penjaga gol Pulau Pinang, Sani Anuar Kamsani (kiri) dalam saingan Liga Super 2017 di Stadium Darul Makmur. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang
Penyerang Pahang FA, Sumareh Mohamadou (kanan) menewaskan penjaga gol Pulau Pinang, Sani Anuar Kamsani (kiri) dalam saingan Liga Super 2017 di Stadium Darul Makmur. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang

KUANTAN: Skuad Pahang berpesta gol apabila menewaskan Pulau Pinang 6-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur sebentar tadi.

Kemenangan itu juga meneruskan rentak cemerlang skuad Tok Gajah yang layak ke pusingan ketiga saingan Piala FA selepas menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) 4-2, Selasa lalu.

Namun, pada perlawanan malam tadi, tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit ke-15 untuk mendahului pelawat hasil sentuhan pemain dari Gambia, Mohamadou Sumareh selepas menerima hantaran Matheus Alves.

Pada minit ke-24, pemain tengah skuad Tok Gajah, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria menambah derita Pulau Pinang dengan gol kedua buat Pahang selesa mendahului 2-0.

Namun, skuad Harimau Kumbang berjaya merapatkan jurang menerusi penyerang mereka, Nigel Dabinyaba pada minit ke-30.

Pada minit ke-36, Pahang hampir menambah satu lagi gol tetapi Matheus Alves yang hanya berdepan penjaga gol lawan, Sani Anuar Kamsani gagal untuk menyudahkan peluang apabila bola rembatannya melepasi palang dan keputusan kekal 2-1 pada separuh masa pertama.

Skuad bimbingan Dollah Salleh menggandakan asakan ke kubu lawan sebaik bersambung babak kedua dan peluang terbaik hadir menerusi Alves dan Ashari Samsudin tetapi dikecewakan dengan penyudahan tumpul walaupun sudah memperdayakan pertahanan lawan.

Pada minit ke-65, pemain gantian, Joseph Kalang Tie yang baharu masuk menggantikan Ahmad Syamim Yahya menjaringkan gol ketiga tuan rumah dan diikuti Alves pada minit ke-72.

Pada minit ke-84 dan 85, Ashari yang beraksi di bahagian tengah menambah derita Pulau Pinang untuk meletakkan Pahang selesa dengan keputusan 6-1 sebaik aksi 90 minit berakhir.

Berita Harian X