X
Isnin, 6 Februari 2017 | 9:38am

Golf: Matsuyama rangkul Terbuka Phoenix kali kedua

MATSUYAMA menjuarai Terbuka Waste Management Phoenix pada lubang keempat playoff buat tahun kedua berturut-turut. - Foto AFP
MATSUYAMA menjuarai Terbuka Waste Management Phoenix pada lubang keempat playoff buat tahun kedua berturut-turut. - Foto AFP

SCOTTSDALE (Arizona): Hideki Matsuyama menjuarai Terbuka Waste Management Phoenix pada lubang keempat playoff buat tahun kedua berturut-turut, mengatasi Webb Simpson di lapangan TPC Scottsdale, hari ini.

Matsuyama menang menerusi birdie 3 meter pada par pendek 4 di lubang ke-17, lubang yang sama ketika bintang Jepun berusia 24 tahun itu mengatasi Rickie Fowler, tahun lalu.

Matsuyama menamatkan saingan dengan 5 bawah par 66, melakukan par pada tiga lubang terakhir untuk menyamai catatan Simpson dengan keseluruhan 17 bawah par 267.

Simpson melakukan tiga birdie dalam empat lubang terakhir untuk 64 pukulan, pusingan terbaik sepanjang hari.

Kejohanan itu menarik perhatian kira-kira 58,654 peminat pada hari terakhir untuk mencipta rekod mingguan baharu dengan 655,434.

Catatan sebelum ini ialah 618,365 yang dicatatkan pada tahun lalu manakala rekod harian 204,906 dicipta pada Sabtu lalu.

Matsuyama mengambil peluang catatan buruk pendahulu pusingan ketiga, Byeong Hun An pada sembilan lubang terakhir untuk mencipta kejayaan kedua di lokasi sama.

Berada tiga pukulan di depan Matsuyama, An melakukan bogey pada dua lubang pertama pada sembilan lubang terakhir dan menamatkannya dengan dua lagi bogey.

Pemain Korea Selatan itu melakukan 73 pukulan untuk menamatkan saingan di tangga keenam dengan 14 bawah par.

Matsuyama menang gelaran kedua Jelajah PGA musim ini dan keempat secara keseluruhan. Dia sudah memenangi lima kejuaraan di seluruh dunia dalam tempoh tiga setengah bulan, juga memenangi Kejuaraan WGC-HSBC di China, dua acara di Jepun dan Cabaran Dunia Hero Tiger Woods. - AP

Berita Harian X