Sabtu, 28 Januari 2017 | 8:07pm

Maniam minta Forkey Doe tingkat kecergasan

FRANCIS Forkey Doe .- Foto Luqman Hakim Zubir
FRANCIS Forkey Doe .- Foto Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: Jurulatih Selangor, P Maniam meminta Francis Forkey Doe lebih meningkatkan tahap kecergasannya untuk terus memberi impak terbaik kepada skuad itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

"Kemasukan (Victor) Astafei pada awal babak kedua (ketika berdepan Melaka United) menyaksikan permainan kita berubah.

"Tapi saya lihat Forkey Doe masih perlu mempertingkatkan tahap kecergasannya kerana sebelum ini dia sudah lama tidak berlatih. Dia sudah cergas tapi masih perlu dipertingkatkan," katanya selepas perlawanan dengan Melaka United di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Astafei menyelamatkan maruah Selangor dari menerima kekalahan pertama di gelanggang sediri musim ini apabila meledak gol penyamaan sembilan minit sebelum perlawanan tamat selepas Muhammad Khairul Azrin Khazali meletakkan Melaka United di depan pada minit ke-69.

Selain itu, Maniam tetap berpuas hati dengan satu mata yang diraih The Red Giants sambil menganggap Melaka United adalah salah satu pasukan terbaik dalam liga.

"Sudah tentu kita boleh lihat yang Melaka (United) adalah pasukan yang baik dan mereka menguasai permainan pada separuh masa pertama.

"Satu keputusan yang baik buat Selangor dengan mengutip satu mata kerana saya fikir Melaka adalah salah satu pasukan terbaik ketika ini kerana memiliki barisan pemain yang berkualiti," katanya.

Berita Harian X