Jumaat, 20 Januari 2017 | 10:52pm

Gandingan Nur Izzuddin-Sze Fei ke separuh akhir

BEREGU lelaki Malaysia, Nur Izzuddin dan Goh Sze Fei. - Foto BERNAMA
BEREGU lelaki Malaysia, Nur Izzuddin dan Goh Sze Fei. - Foto BERNAMA

SIBU: Beregu muda lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei mengekalkan rentak cemerlang mereka apabila mara ke separuh akhir Malaysia Masters, sebentar tadi.

Kejayaan itu hadir selepas anak buah Cheah Soon Kit itu menewaskan pasangan Hong Kong, Mak Hee Chun-Tam Chun Hei 22-20, 21-16 dalam aksi suku akhir di Stadium Tertutup Sibu.

Mereka akan berdepan pasangan berpengalaman Indonesia, Markis Kido-Hendra Aprida Gunawan bagi perebutan tempat ke final, esok.

Kido-Hendra pula mara selepas membenam cabaran Terry Hee-Loh Kean Hean dari Singapura 19-21, 21-13, 21-11.

Sementara itu, beregu wanita, Lim Yin Loo-Yap Cheng Wen turut mara ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan Singapura, Tan Wei Han-Crystal Wong Jia Ying 21-11, 21-11.

Mereka akan berdepan Pook Lok Yan-Tse Ying Suet dari Hong Kong untuk perebutan tempat ke final, esok.

Berita Harian X