Jumaat, 13 Januari 2017 | 10:19am

Thomas cipta sejarah pecah tembok 60 pukulan

AKSI pemain golf muda sensasi dari Amerika Syarikat, Justin Thomas pada Terbuka Sony di Hawaii. - Foto AFP
AKSI pemain golf muda sensasi dari Amerika Syarikat, Justin Thomas pada Terbuka Sony di Hawaii. - Foto AFP

Hawaii: Pemain muda sensasi, Justin Thomas menjadi pemain ketujuh dalam sejarah sukan golf yang berjaya memecah tembok bawah 60 pukulan dalam Jelajah PGA, dan menjadi pemain termuda menyertai kelas elit itu apabila dia merakam 11 bawah par pada pusingan pembukaan Terbuka Sony di Hawaii, hari ini.

Hanya selepas empat hari menjulang gelaran ketiga Jelajah PGA di Kejohanan Juara SBS di Pulai Maui, Hawaii, pemain berusia 23 tahun dari Amerika itu membuat pukulan eagle dari jarak 15 kaki pada lubang terakhir par-5 untuk merakam 59 pukulan.

Thomas yang membuka langkah dengan aksi cemerlang pada lubang pertama di Kelab Golf Waialae Honolulu dengan catatan eagle menerusi pukulan sungkit dari jarak 34 ela, turut mengumpul lapan birdie dan hanya satu bogey untuk mengukir namanya dalam kelompok 59 pukulan.

Jim Furyk memecahkan angka ajaib dalam sukan golf itu apabila merakam rekod 12 bawah 58 di Kejohanan Travelers, tahun lalu.

Al Geiberger pada 1977 menjadi pemain pertama berjaya mengumpul 59 pukulan dalam Jelajah PGA, diikuti Chip Beck (1991), David Duval (1999), Paul Goydos (2010), Stuart Appleby (2010) dan Furyk (2013). - Agensi

Berita Harian X