Ahad, 8 Januari 2017 | 2:53pm

Isteri harap Faiz menang Anugerah Puskas

FAIZ (kiri) bersama keluarganya bersedia di di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pagi tadi sebelum berlepas ke Zurich untuk Anugerah Puskas FIFA 2016. - Foto Osman Adnan
FAIZ (kiri) bersama keluarganya bersedia di di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pagi tadi sebelum berlepas ke Zurich untuk Anugerah Puskas FIFA 2016. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Isteri Mohd Faiz Subri, Norzawanis Hashim mengharapkan kemenangan Anugerah Puskas FIFA 2016 yang akan diumumkan pada awal pagi Selasa ini berpihak kepada suaminya.

"Semoga menang," kata Norzawanis yang turut menemani Faiz ke Zurich, Switzerland pagi tadi, bersama dua anak mereka ketika di temui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus sebelum berlepas.

Bagi Norwanis, debaran menanti keputusan Anugerah Bola Sepak FIFA itu tidak terlalu dirasai kerana dia turut sibuk dengan persediaan anak-anak bagi menghadapi musim sejuk di Zurich.

"Sekarang musim sejuk, persediaan lebih kepada anak-anak kerana kedua-duanya masih kecil," katanya.

Kejayaan Faiz mara ke kelompok tiga terakhir anugerah jaringan terbaik dunia itu juga memberi cabaran baharu buat Norzawanis di mana dia perlu menyesuaikan diri dengan populariti suaminya yang meningkat mendadak.

"Saya nasihatkan dia supaya teruskan kerjaya macam biasa. Sekarang ini perhatian lebih, saya perlu berdepan (dengan situasi itu)," katanya.

Turut mengiringi pasangan itu ke Zurich ialah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah.

"Ia satu pencapaian membanggakan buat bola sepak Malaysia. Kita amat berharap dia berjaya.

"Kemenangan ditentukan berdasarkan jumlah undian,. Jadi diharap peminat di Malaysia dan rantau Asia akan terus mengundi Faiz," kata Afandi.

Berita Harian X