Rabu, 4 Januari 2017 | 9:57pm

Sepakan ajaib Faiz buat saya tergamam - Nasril

KUALA LUMPUR: Penjaga gol, Nasril Nourdin mengakui tergamam ketika sepakan percuma dilakukan finalis Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, Mohd Faiz Subri, menerjah gawangnya.

Jaringan yang disifatkan 'melanggar hukum fizik' itu dilakukan Mohd Faiz ketika membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, 16 Februari tahun lalu.

Nasril yang kini bermain untuk Perlis berkata, beliau berada di posisi yang tepat dan bersedia untuk menangkap bola itu sebelum ia secara tiba-tiba bertukar arah, membuatkannya terpaku.

"Saya sudah berada dalam kedudukan yang betul untuk menangkap bola tetapi entah bagaimana dalam sekelip mata ia bertukar arah dan menjunam di sebelah kiri gawang.

"Sepakan itu memang sesuatu yang menakjubkan kerana sepanjang karier, belum pernah saya melalui situasi seperti itu. Saya yakin jaringan itu mampu memenangi Anugerah Puskas itu nanti," katanya kepada Bernama, di sini.

NASRIL (kiri) mengakui tergamam ketika sepakan percuma dilakukan Mohd Faiz, menerjah gawangnya. - Foto NSTP
NASRIL (kiri) mengakui tergamam ketika sepakan percuma dilakukan Mohd Faiz, menerjah gawangnya. - Foto NSTP

FIFA menerusi laman web rasminya, www.fifa.com Disember lalu mengumumkan jaringan 'ajaib' Mohd Faiz itu tersenarai dalam tiga jaringan terbaik dunia untuk Anugerah Puskas 2016.

Setakat 6 petang ini, video jaringan Mohd Faiz yang pertama kali dimuat naik oleh FIFATV di laman YouTube pada 21 November lalu telah ditonton 2,240,141 pelayar seluruh dunia.

Jumlah tontonan itu jauh meninggalkan dua pesaing utama anugerah berkenaan iaitu Jonath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil (1,395,351 tontonan) dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela (1,089,102 tontonan).

Peminat bola sepak tempatan masih berpeluang mengundi jaringan Mohd Faiz melalui laman web rasmi FIFA, www.fifa.com sebelum pemenang berdasarkan undian peminat seluruh dunia diumumkan pada majlis Anugerah Bola Sepak FIFA di Zurich, Switzerland, 9 Januari ini. - BERNAMA

Berita Harian X