Selasa, 27 Disember 2016 | 12:34pm

Neymar tidak kemaruk anugerah Ballon d'Or

NEYMAR. - Foto AFP
NEYMAR. - Foto AFP

MADRID: Bintang Barcelona, Neymar berkata memenangi Ballon d'Or adalah salah satu daripada impiannya namun dia tetap akan tidur lena jika gagal meraih anugerah pemain terbaik bola sepak berkenaan.

"Jika saya tidak menang Ballon d'or, saya okey," katanya menerusi temu ramah yang disiarkan di laman sesawang La Liga ketika disoal mengenai kekecewaan apabila tidak dinamakan sebagai tiga finalis untuk anugerah itu tahun ini.

"Saya bukan bermain untuk memenangi Ballon d'Or, saya bermain bola sepak untuk rasa gembira kerana saya menyukainya, kerana saya mahu bermain bola sepak. Malangnya hanya seorang saja boleh menjadi pemenang.

"Sudah tentu salah satu impian saya adalah memenangi Ballon d'Or tapi saya tidak akan mati jika tidak berjaya mendapatkannya."

Ballon d'Or ketika ini hanya bertukar tangan antara bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo dan bintang Barcelona, Lionel Messi sepanjang sembilan tahun lalu selepas Kaka dari Brazil memenanginya pada tahun 2007.

Neymar berada dalam senarai akhir buat pertama kali tahun lalu sebelum disingkirkan Messi yang memenanginya buat kali kelima.

Ronaldo dianugerahkan Ballon d'Or 2016 awal bulan ini kerana membantu Real memenangi Liga Juara Juara dan membawa kemenangan Portugal dalam kempen Euro 2016.

Sejak ke Barcelona dari kelab Brazil, Santos pada tahun 2013, Neymar memenangi dua gelaran liga, dua piala domestik, Piala Super Sepanyol, Liga Juara Juara dan Piala Dunia Kelab. - AFP

Berita Harian X