Jumaat, 23 Disember 2016 | 10:46pm
MOHD Faiz Subri, 29, penyerang Liga Malaysia dari Pulau Pinang disahkan tempat dalam senarai tiga calon utama untuk merebut Anugerah Puskas ketika ditemui di kediamannya, Batu Uban, Gelugor. - Foto Danial Saad

FAM seru peminat terus undi Faiz

TIMBALAN Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah (kiri) menyampaikan anugerah Penghormatan Khas - FIFA Puskas Award Finalist kepada Faiz Subri (kanan) pada majlis penyampaian Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016 di Hotel Geno. Turut kelihatan, Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership, Kevin Ramalingam (tengah). - Foto Asyraf Hamzah

SHAH ALAM: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terus menzahirkan sokongan dan menyeru rakyat Malaysia supaya tidak berhenti mengundi jaringan ajaib pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri bagi anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Afandi Hamzah, berkata ini adalah peluang keemasan terbaik untuk Malaysia melakar sejarah terbesar, yang tidak pernah lagi dicipta di rantau Asia.

"Meskipun saingan kancah bola sepak tempatan sudah berakhir, kegemilangannya masih belum lagi padam kerana kita masih menunggu debarannya pada tarikh 9 Januari ini.

"Ayuhlah kita sama-sama mendoakan agar pemain daripada negara kita dapat meraih anugerah terbabit.

"Saya mengharapkan rakyat Malaysia terus mengundi jaringan itu bagi memastikan impian kita menjadi kenyataan," katanya ketika berucap pada pembukaan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016, di sini, sebentar tadi.

Sepakan percuma yang 'melanggar hukum fizik' itu dilakukan ketika aksi Liga Super di antara Pulau Pinang dan Pahang.

Jaringan itu kini mendahului jumlah tontonan di laman Youtube rasmi badan induk bola sepak antarabangsa itu dengan mencatat lebih 2.1 juta tontonan.

Dalam masa sama, Afandi mahu juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) melakar sejarah dengan menjadi pasukan pertama negara ini yang layak bersaing ke Liga Juara Juara Asia (ACL) musim hadapan.

"Tahniah kepada JDT kerana menjadi juara Liga Super buat kali ketiga berturut-turut dan merangkul Piala Sumbangsih serta Piala FA.

"Mereka sekali lagi akan mewakili negara ke pusingan kelayakan ACL. Kami mendoakan agar JDT dapat melepasi pusingan kelayakan ini dan menjadi pasukan Malaysia pertama beraksi di saingan itu," katanya.

Berita Harian X