Rabu, 7 Disember 2016 | 11:04pm

Hendra pasangan baharu Boon Heong

TAN Boon Heong dan Hendra Setiawan.
TAN Boon Heong dan Hendra Setiawan.

KUALA LUMPUR: Saingan dalam acara beregu lelaki tahun depan menjanjikan persaingan yang lebih sukar dengan kehadiran pasangan baharu, Tan Boon Heong-Hendra Setiawan.

Kedua-dua pemain dari Malaysia dan Indonesia itu sah akan bergandingan dengan masing-masing mempunyai rekod cemerlang di pentas antarabangsa sebelum ini.

Boon Heong yang sebelum ini bergandingan bersama Koo Kien Keat pernah memenangi pingat emas Sukan Asia 2000, juara Seluruh England 2007 dan naib juara Kejohanan Dunia 2010 manakala Hendra menjuarai gelaran dunia sebanyak tiga kali - sekali dengan Markis Kido pada 2007 dan dua kali bersama Mohd Ahsan pada 2013 dan 2015.

Hendra juga memenangi pingat emas Olimpik Beijing 2008 bersama Kido.

Peminat badminton dunia boleh menyaksikan penampilan pertama mereka dalam kejohanan antarabangsa pada Grand Prix (GP) Emas Terbuka India, bulan depan.

Boon Heong yang diminta mengulas mengenai pasangan baharunya itu, berkata fokus utama mereka adalah untuk membina kedudukan ranking dunia.

"Jadi, kami mungkin akan menyertai banyak kejohanan untuk membina kedudukan ranking dunia kami.

"Idea untuk kami bergandingan hadir selepas melihat belum pernah ada mana-mana pemain utama dunia bergandingan bersama, jadi kami mahu melakukannya dan lihat hasilnya.

"Kami tidak meletakkan sebarang sasaran khusus kerana kami bukannya muda lagi. Kami akan cuba buat yang terbaik dalam setiap kejohanan disertai. Jika ada peluang layak ke Kejohanan Dunia tahun depan, kami ok tetapi jika sebaliknya kami tidak kisah," kata Boon Heong ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Hendra yang turut mengesahkan mengenai gandingannya bersama Boon Heong menerusi gambar yang dimuat naik dalam laman sosial Instagram miliknya mengharapkan mereka mampu menjadi beregu terbaik.

"Tahun depan saya mempunyai gandingan baharu yang pernah menjadi lawan paling sukar dan teman baik saya. Dia adalah pemenang emas Sukan Asia 2006 dan juara Seluruh England 2007.

"Diharapkan kami mampu menjadi yang terbaik. Gandingan baharu, sasaran baharu dan cabaran baharu," tulis Hendra menerusi keterangan gambarnya bersama Boon Heong yang dimuat naik di Instagram.

Berita Harian X