Jumaat, 2 Disember 2016 | 11:45pm

FAM tak terkejut Faiz disenarai tiga terbaik

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak terkejut apabila jaringan ajaib penyerang Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri, dipilih sebagai tiga calon terakhir untuk meraih Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata keyakinan itu dilontarkan selepas melihat video jaringan yang dilakukan penyerang berusia 29 tahun itu ketika bertemu Pahang mengungguli jumlah tontonan sepanjang tempoh pengundian dibuka, sekali gus mengatasi pencabarnya yang lain.

"Jumlah tontonan bagi jaringan Faiz semakin meningkat ketika di penghujung tarikh pengundian dan secara tidak langsung jaringan itu membuka mata semua penyokong bola sepak di seluruh dunia.

"Sebab itu, saya yakin jaringannya mampu dipilih sebagai tiga jaringan terbaik.

"Pemilihan ini adalah satu penghargaan yang begitu tinggi untuk bola sepak Malaysia kerana ia julung kali pemain kita dicalonkan ke anugerah berprestij itu," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Selain jaringan 'tidak masuk akal' Mohd Faiz yang menewaskan beberapa bintang terkemuka dunia, termasuk Lionel Messi dan Neymar, dua lagi pencabarnya adalah jaringan akrobatik pemain Brazil, Marlone dan satu-satunya calon wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela.

Jaringan anak kelahiran Air Itam itu dijangka dipilih sebagai calon akhir anugerah terbabit selepas jumlah tontonan mencatat 1,374,742 juta setakat jam 7 malam tadi.

Dalam masa sama, Hamidin sedang menunggu surat rasmi daripada FIFA berhubung jaringan terbabit sebelum membuat apa-apa keputusan selanjutnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah, menaruh harapan tinggi jaringan Mohd Faiz itu dipilih untuk merangkul Anugerah Puskas FIFA 2016, sekali gus mencipta sejarah baharu untuk bola sepak negara.

"Meskipun pada awalnya, kita sekadar menghantar pencalonan gol itu kerana kita melihat jaringan itu begitu menakjubkan dan sama sekali tidak menjangka ia akan lolos dalam kelompok 10 jaringan terbaik.

"Tersenarai dalam 10 jaringan terbaik pun sudah cukup membanggakan kita apatah lagi dipilih sebagai calon untuk tiga jaringan terbaik. Sudah pastinya saya mahukan anugerah ini menjadi milik kita," katanya.

Berita Harian X