Sabtu, 26 November 2016 | 5:47pm

Singapura catat pencapaian terburuk Piala AFF

PEMAIN Indonesia, Andik Vermansyah diasak pemain Singapura, Shakir Hamzah pada saingan Piala AFF Suzuki di Filipina. - Foto EPA
PEMAIN Indonesia, Andik Vermansyah diasak pemain Singapura, Shakir Hamzah pada saingan Piala AFF Suzuki di Filipina. - Foto EPA

BOCAUE, Filipina: Singapura menamatkan saingan Piala AFF Suzuki tahun ini dengan kekalahan 1-2 di tangan Indonesia - catatan terburuk sepanjang 11 edisi kejohanan rantau Asia Tenggara itu.

Tiada kemenangan, dua kekalahan, tiga kali bolos dan hanya satu gol dijaringkan untuk menghuni tangga tercorot Kumpulan A.

Keputusan paling buruk sebelum ini ialah pada edisi dua tahun lalu, apabila Singapura hanya menang sekali sebelum tersingkir di peringkat kumpulan.

Malah dengan bantuan Thailand yang sudah layak dan membariskan pemain-pemain simpanan membuka ruang buat anak buah V Sundramoorthy dengan menewaskan tuan rumah bersama, Filipina 1-0.

Sekiranya Singapura bertahan dengan kedudukan 1-0 ke atas Indonesia hasil jaringan Khairul Amri pada babak pertama, tiket ke separuh akhir sah menjadi milik mereka.

Namun corak bertahan dalam dua pertemuan pertama - keputusan seri 0-0 menentang Filipina dan kekalahan 0-1 di tangan Thailand - membawa padah buat Singapura.

"Kami mendahului permainan dan cukup yakin, tetapi hasil dua hantaran lintang dan kelemahan menjaga pemain lawan, Indonesia berjaya meledak dua gol," kata Sundramoorthy.

"Kami mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi tidak memanfaatkannya. Kami perlu akur. Saya percaya pemain-pemain sudah melakukan sebaik mungkin, mereka berjuang hingga ke akhir."

Namun ketika ditanya berkenaan masa depannya selepas dilantik sebagai pengendali sementara Mei lalu, Sundramoorthy berkata: "Selepas enam bulan orang mula mempersoalkan masa depan anda?"

Indonesia yang gigih mempertajam sentuhan penyudah daripada hantaran lintang pada sesi latihan kelmarin, menuai hasilnya apabila Andik Vermansah (m-62) dan Stefano Lilipaly (m-84) meledak gol menerusi rembatan voli.

"Kami berhak untuk menang, kami pasukan yang lebih baik," kata pengendali Indonesia Alfred Riedl.

"Selama setahun setengah kami tidak mempunyai bola sepak antarabangsa (digantung FIFA) dan saya hanya mampu memilih dua pemain dari setiap kelab.

"Saya bernasib baik kerana mempunyai pemain-pemain berbakat yang menjadi masa depan bola sepak Indonesia."

Berita Harian X