Khamis, 10 November 2016 | 10:39pm

Messi, Argentina ujian sebenar Tite

Jurulatih baharu Brazil, Tite bercakap kepada wartawan di sidang media sejurus latihan pasukannya di Stadium Mineirao, Brazil. - Foto AFP
Jurulatih baharu Brazil, Tite bercakap kepada wartawan di sidang media sejurus latihan pasukannya di Stadium Mineirao, Brazil. - Foto AFP

BELO HORIZONTE, Brazil: Argentina mula melancar perang psikologi menjelang pertemuan kelayakan Piala Dunia 2018 Zon Amerika Selatan apabila mengakui Brazil lebih berbahaya sejak di bawah kendalian jurulatih baharu Tite.

Ini terbukti selepas juara lima kali Piala Dunia itu memanjat daripada tangga kelima ke kedudukan teratas sejak Tite mengambil alih pasukan pada Jun lalu dengan membantu The Selecao mencatat kemenangan ke atas Ecuador, Colombia, Bolivia dan Venezuela.

Namun, ujian sebenar akhirnya tiba buat Tite apabila perlu berdepan Lionel Messi dan rakan sepasukan Argentina di Stadium Mineirao, awal pagi esok.

"Ada Brazil sebelum dan selepas Tite," kata pertahanan Argentina, Julio Buffarini. "Anda boleh melihatnya ketika Brazil beraksi dan daripada keputusan yang diperoleh pasukan itu dalam pusingan kelayakan ini."

Bertambah menarik aksi kedua-dua pasukan itu juga bakal menyaksikan Tite bertarung dengan rakan sejawatannya dari Argentina, Edgardo Bauza.

Kedua-dua jurulatih terbabit sebelum ini pernah bertemu satu sama lain dalam Liga Brazil, dengan Tite mengemudi Corinthians dan Bauza di San Paulo.

"Tite mengubah sepenuhnya gaya permainan Brazil, dengan lima pemain yang liat di bahagian tengah dan penyudah lebih tajam," kata Bauza. "Dia sangat berbakat."

Gaya permainan pengendali berusia 55 tahun itu turut memikat hati pemain sayap Brazil, Douglas Costa, yang membandingkannya dengan Carlo Ancelotti, iaitu jurulatihnya di Bayern Munich.

"Mereka mempunyai karier yang hebat kerana mereka amat hebat dalam berinteraksi dengan pemain," kata Costa. "Mereka gemar bertukar pendapat dengan pemain di bilik persalinan. Mereka mendengar pendapat pemain. Itulah kekuatan utama mereka."

Aksi awal pagi esok akan dilangsungkan di stadium yang menyaksikan Brazil dibelasah 7-1 oleh Jerman pada pertemuan separuh akhir Piala Dunia 2014. Tetapi mereka tampil dengan pasukan berbeza kali ini, khususnya kerana Tite. - AP

Berita Harian X