Rabu, 26 Oktober 2016 | 11:48pm

Hoki: Malaysia tewas di tangan India

PEMAIN Malaysia, Faizal Saari (kiri) cuba mengasak pemain India, Rupinder Pal Singh dalam Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia kali ke 4 di Stadium Hoki Kuantan. - Foto Luqman Hakim Zubir
PEMAIN Malaysia, Faizal Saari (kiri) cuba mengasak pemain India, Rupinder Pal Singh dalam Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia kali ke 4 di Stadium Hoki Kuantan. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUANTAN: Malaysia tumbang 2-1 di tangan India pada aksi menarik di Stadium Hoki Wisma Belia, di sini, malam tadi, untuk mengutip kekalahan pertama dalam kempen Trofi Juara-Juara Asia.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan India mara ke separuh akhir sebagai juara kumpulan selepas mengumpul 13 mata daripada lima aksi dengan Malaysia kekal di tangga kedua dengan ketinggalan tiga mata.

Justeru, anak-anak buah Stephen Van Huizen kini harus memusatkan tumpuan kepada aksi terakhir berdepan Korea Selatan esok, sekiranya berhasrat mengakhiri saingan kumpulan di kedudukan kedua.

Ini kerana Korea Selatan dan Pakistan masih mengekori rapat skuad negara dengan masing-masing hanya ketinggalan dua dan tiga mata di tempat ketiga dan keempat.

Dalam perlawanan malam tadi, jaringan India terhasil pada minit ke-13 menerusi Rupinder Pal Singh yang menyudahkan bola muntah pukulan sudut penaltinya sendiri selepas Firhan Ashari dan Faizal Saari mempersia-siakan dua percubaan.

Pakar pukulan sudut penalti negara Razie Rahim yang sentuhan penyudah pukulan sudut penaltinya dipersoalkan, akhirnya memberi jawapan dengan meledak gol penyamaan pada minit ke-18.

Rupinder menepati status sebagai pakar pukulan sudut penalti apabila mencetak gol kemenangan India ketika permainan berbaki dua minit untuk gol keduanya dalam aksi yang menghiburkan itu.

Lawan terakhir yang akan ditemui Malaysia esok, Korea Selatan pula bangkit menewaskan Jepun 4-3 sebelum itu, sekali gus mengesahkan tiket ke separuh akhir.

Skuad bimbingan Paul Lissek itu menyertai skuad bimbingan Van Huizen dan India yang mara lebih awal dengan satu lagi slot menjadi rebutan antara China dan Pakistan yang akan bertemu esok.

Keputusan:

Korea Selatan 4 Jepun 3

Malaysia 1 India 2

Berita Harian X