Jumaat, 21 Oktober 2016 | 10:26pm

Skuad Van Huizen kenduri gol di Kuantan

PEMAIN Malaysia, Haziq Samsul (kiri) meraikan jaringan pertama ketika menentang China dalam Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia kali ke 4 di Stadium Hoki Kuantan. - Foto Luqman Hakim Zubir
PEMAIN Malaysia, Haziq Samsul (kiri) meraikan jaringan pertama ketika menentang China dalam Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia kali ke 4 di Stadium Hoki Kuantan. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUANTAN: Tuan rumah, Malaysia hanya selangkah lagi dipisahkan dengan pentas separuh akhir QNET Trofi Juara-Juara Asia 2016 apabila membenam China 5-1 di Stadium Hoki Wisma Belia, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Stephen Van Huizen mengekalkan rekod permulaan sempurna untuk mengungguli tangga teratas dengan enam mata diikuti India dan Pakistan tiga mata.

Dengan aksi berbaki tiga perlawanan, skuad negara kini hanya perlu menewaskan Jepun pada aksi ketiga Ahad ini untuk mengesahkan tiket separuh akhir.

Skuad negara beraksi dengan tempo yang tinggi pada suku pertama sehingga berada di depan seawal minit keenam menerusi penyerang Perak, Haziq Samsul yang menyapu bola muntah percubaan pukulan sudut Razie Rahim.

Haziq terus menceriakan kem negara pada minit ke-20 apabila mencetak gol keduanya menerusi gerakan sama sebelum tiba giliran Fitri Saari meledak selang dua minit kemudian.

Bersambung suku ketiga, pelawat yang menduduki ranking ke-18 dunia itu merapatkan jurang menerusi gol padang Wang Bowen pada minit ke-33 tetapi Shahril Saabah kembali melebarkan kedudukan empat minit kemudian.

Penyerang Terengganu, Firhan Ashari melengkapkan kemenangan besar Malaysia apabila mencetak gol peribadi kedua kejohanan pada pada minit ke-54.

Sementara itu, penyandang juara Pakistan terpaksa menunggu sehingga saat-saat akhir untuk mencipta kejutan menewaskan pasukan di ranking ke-11 dunia Korea Selatan 1-0 di stadium sama sebelum itu.

Gol kemenangan Pakistan terhasil menerusi pukulan sudut penalti Abdul Khan pada minit ke-60 untuk meraih kemenangan pertama.

Berita Harian X