Jumaat, 21 Oktober 2016 | 5:11pm

Van Huizen tuntut pemain robohkan tembok China

PEMAIN Malaysia, Fitri Saari (kiri) bersaing dengan pemain Pakistan, Ammad Shakeel dalam Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia di Stadium Hoki Kuantan. - Foto Luqman Hakim Zubir
PEMAIN Malaysia, Fitri Saari (kiri) bersaing dengan pemain Pakistan, Ammad Shakeel dalam Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia di Stadium Hoki Kuantan. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUANTAN: Jurulatih skuad negara, Stephen Van Huizen, menegaskan hanya mata maksimum diidamkannya apabila bertemu China, malam ini selepas anak buahnya membenam Pakistan 4-2 dalam aksi pembukaan QNET Trofi Juara-Juara Asia di Stadium Hoki Wisma Belia, semalam.

Jurulatih berusia 56 tahun itu mahu anak buahnya memanfaatkan tempoh 24 jam terakhir untuk memulihkan kecergasan bagi merobohkan Tembok Besar China.

"Sudah pasti saya mengharapkan mata maksimum ketika menentang China. Kemenangan ini penting untuk memastikan motivasi kekal berada di tahap terbaik.

"Meskipun kali ini mereka turun dengan skuad lebih muda, ini adalah aksi pertama mereka sekali gus menyaksikan mereka mempunyai rehat yang secukupnya untuk pertemuan ini," katanya.

Sementara itu, Faizal Saari membuat kepulangan bergaya bersama skuad negara dengan meledak dua gol pada minit ke-34 menerusi penalti strok dan 60 (gol padang) ketika membantu pasukannya meraih tiga mata ke atas Pakistan.

Dua lagi gol negara disumbangkan Firhan Ashaari pada minit ke-13 dan Shahril Saabah pada minit ke-41, masing-masing menerusi pukulan sudut penalti, sementara jaringan Pakistan disumbangkan Aleem Bilal pada minit ke-18 dan 34.

Prestasi Faizal itu segera mendapat perhatian Van Huizen, bagaimanapun jurulatih itu berharap supaya penyerang yang membuat penampilan ke-152 bersama negara itu tidak cepat 'besar kepala' dengan permulaan sempurna itu.

"Ya, untuk pemain yang sudah lama tidak beraksi di pentas antarabangsa, ia adalah satu permulaan baik. Kita tidak boleh pertikaikan kemampuannya, memang dia seorang pemain yang bagus. Harapan saya dia tidak terbawa-bawa dan terus bekerja keras selepas ini," katanya.

Aksi terbabit, turut dihentikan kira-kira 10 minit pada minit ke-35 berikutan hujan lebat dan sebaik bersambung, menyaksikan Malaysia bangkit menjaringkan tiga gol.

Jadual hari ini:

Pakistan melawn Korea

Stadium Wisma Belia, 6.30 petang

Malaysia melawan China

Stadium Wisma Belia, 8.30 malam

Berita Harian X