Sabtu, 27 Ogos 2016 | 12:19pm

F1: Verstappen enggan leka di gelanggang sendiri

PEMANDU Formula 1 Red Bull, Max Verstappen. - Foto EPA
PEMANDU Formula 1 Red Bull, Max Verstappen. - Foto EPA

SPA-FRANCORCHAMPS, BELGIUM: Max Verstappen enggan dibuai kelekaan dengan peluang meraih kemenangan di laman sendiri pada perlumbaan Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Belgium meskipun membantu Red Bull mendahului kedudukan satu-dua pada sesi latihan pembukaan.

Verstappen mencatat masa terpantas pada sesi latihan semalam dan merakam 0.256 saat lebih pantas berbanding rakan sepasukannya daripada Australia, Daniel Ricciardo pada pusingan yang jauh lebih baik berbanding catatan terpantas Nico Rosberg buat Mercedes.

Mercedes yang meraih 43 kemenangan daripada 50 perlumbaan sekadar mencatat tempat keenam dan ketiga belas dengan Rosberg mendahului rakan sepasukannya, Lewis Hamilton.

Red Bull yang menjadi satu-satunya pasukan selain Mercedes yang meraih kemenangan pada tahun ini memintas Ferrari selaku pencabar paling terdekat Mercedes ketika ini.

Namun persembahan kurang memberangsangkan dilakar Mercedes pada sesi latihan semalam susulan mereka lebih fokus kepada simulasi perlumbaan selain Hamilton yang terpaksa bermula di petak belakang kerana dikenakan penalti kotak enjin.

"Mereka sangat kompetitif dan pastinya Mercedes mampu untuk bangkit," kata Verstappen.

GP Spa adalah perlumbaan paling hampir buat Verstappen beraksi di laman sendiri. Anak lelaki kepada bekas pelumba Jos itu mewakili Belanda meskipun lahir di Belgium. - Reuters

Berita Harian X