Ahad, 24 Julai 2016 | 10:33am

Segera sesuaikan diri di Rio - Chief de Mission

Chief de Mission (CDM) Malaysia ke Olimpik Rio de Janeiro, Tan Sri Muhamed Al Amin.
Chief de Mission (CDM) Malaysia ke Olimpik Rio de Janeiro, Tan Sri Muhamed Al Amin.

SEPANG: Chief de Mission (CDM) Malaysia ke Olimpik Rio de Janeiro, Tan Sri Muhamed Al Amin mengingatkan atlet negara agar segera menyesuaikan diri dengan keadaan di sana.

"Soal tekanan tidak menjadi masalah kerana itu mereka dihantar awal supaya cepat untuk sesuaikan diri dari segi masa, persekitaran dan makanan," katanya kepada pemberita semasa menghantar kumpulan pertama atlet negara ke Rio di sini, malam tadi.

Atlet kumpulan pertama ini terdiri daripada Jonathan Wong (menembak); Khairul Anuar Mohammad, Haziq Kamaruddin dan Muhammad Ikram Joni (memanah) serta Nur Syazrin (pelayaran).

Sebagai CDM, Al Amin turut merasakan pengalaman dan keterujaan untuk ke Rio adalah suatu yang baharu bagi dirinya.

"Suasana di Olimpik pasti berbeza, semua harus dapat sesuaikan diri dengan segera dan untuk atlet, mereka perlu bersedia, dari segi mental dan bila tiba masanya, buat yang terbaik," katanya.

Al Amin berkata kebanyakan atlet yang layak ke Rio, masih muda dan potensi mereka untuk meningkat sangat cerah yang perlu digunakan secara bijak sebagai satu batu loncatan untuk lebih berjaya.

"Ini bukan bermakna kita tidak mahu mereka cemerlang di Olimpik nanti, tapi perjalanan mereka masih jauh dan banyak perkara lagi yang boleh dipelajari," katanya yang yakin kontingen negara mampu untuk mencipta kejutan di Rio.

Sejumlah 32 atlet negara layak ke Sukan Olimpik di Rio de Janiero yang akan berlangsung pada 5 hingga 21 Ogos.

Atlet lain yang akan turut mewakili negara adalah Mohd Azizulhasni (berbasikal); Fatehah Mustapa (basikal trek)/Pandelela Rinong, Ooi Tze Liang, Ahmad Amsyar Azman, Cheong Jun Hoong, Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee (renang/terjun); Khairulnizam Mohd Affendy (pelayaran).

Welson Sim dan Phee Jinq En (akuatik); Nauraj Singh dan Zaidatul Husniah Zulkifli (olahraga); Heidi Gan (renang marathon), Mohd Hafifi Mansor (angkat berat) Danny Chia, Gavin Kyle Green, Kelly Tan, Michelle Koh (golf).

Selain itu, Datuk Lee Chong, Wei Goh V Shem, Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon, Goh Liu Ying, Tee Jing Yi, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei dalam acara badminton. - BERNAMA

Berita Harian X