Jumaat, 15 Julai 2016 | 7:25pm
ATLET pecut kebangsaan, Zaidatul Husniah Zulkifli. - Foto Hasriyasyah Sabudin
ATLET pecut kebangsaan, Zaidatul Husniah Zulkifli. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Zaidatul Husniah sedia ke Olimpik Rio

KUALA LUMPUR: Atlet pecut kebangsaan, Zaidatul Husniah Zulkifli menyifatkan dia tidak mengalami sebarang tekanan untuk menjalani latihan menjelang Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil Ogos depan kerana masih berada dalam cuti semester.

Husniah, 23, adalah penuntut semester empat jurusan Ijazah Pendidikan Jasmani, Fakulti Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan dipilih ke Rio menerusi tiket wildcard bagi beraksi dalam acara pecut 100m wanita.

"Sudah tentu saya bangga apabila dapat tahu layak sertai Olimpik Rio, siapa yang tidak mahu ke sana kan?. Kebetulan cuti semester sudah bermula bulan lalu sehingga September adalah cuti semester jadi saya tidak ada tekanan dan gangguan untuk berlatih serta bertanding.

"Selepas selesai Sukan Universiti ASEAN (AUG), Singapura dan saya akan mengikut perancangan jurulatih, Bala Muragan mengenai jadual latihan dan lain-lain program agar saya dapat tumpukan perhatian sepenuhnya," katanya kepada BH Sukan.

Ketika disoal mengenai sasaran atau matlamat di kejohanan sukan nombor satu dunia itu, Husniah berkata dia setakat ini menyasarkan untuk memperbaiki catatan masa untuk lebih baik selain mengutip pengalaman berharga di temasya berkenaan.

"Kalau nak katakan sasaran, tidaklah terlalu tinggi tetapi saya ingin membaiki catatan masa, menjadi lebih pantas dan kalau boleh mara ke pusingan seterusnya. Catatan peribadi terbaik saya adalah 11.62s ketika dilakukan di AUG Palembang pada 2014," katanya.

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menerusi Presidennya, Datuk Karim Ibrahim memaklumkan bahawa Husniah akan mewakili negara ke Rio, Brazil dalam acara pecut 100m wanita menerusi tiket wildcard selepas merakamkan kepantasan 11.67s di Kejohanan Olahraga XXVI Kosanov Memorial, Bandaraya Almaty, di Kazakhstan, baru-baru ini.

Pada April lalu, atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh cemerlang apabila berjaya meraih slot secara merit ke Rio selepas mencatatkan ketinggian 2.29m iaitu menyamai had kelayakan ditetapkan ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura.

Ia sekali gus memecahkan rekod kebangsaan 2.27m yang sebelum ini milik Lee Hup Wei.

Selain Zaidatul Husniah yang diberikan tiket wildcard, perenang Phee Jing En (100m kuak dada) juga diberikan slot sama untuk berada dalam senarai 32 atlet yang akan membawa cabaran negara di Rio.

Terdahulu, empat pemain golf - Danny Chia dan Gavin Kyle Green dalam kategori lelaki serta Kelly Tan dan Michelle Koh (kategori wanita) menempah slot ke Rio selepas berada dalam kalangan 60 pemain yang disenaraikan berdasarkan merit oleh Persekutuan Golf Antarabangsa.

Sebelum ini, 26 atlet layak ke temasya sukan itu berdasarkan merit iaitu Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Muhammad Ikram Joni (memanah); Mohd Azizulhasni Awang, Fatehah Mustapa (berbasikal); Ooi Tze Liang, Cheong Jun Hoong, Nur Dhabitah Sabri, Pandelela Rinong, Ng Yan Yee (terjun); Khairulnizam Mohd Affendy, Nur Shazrin Latiff (pelayaran).

Selain itu, Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem, Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon, Goh Liu Ying, Tee Jing Yi, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei (badminton); Johnathan Wong Guanjie (menembak); Welson Sim (renang); Mohd Hafifi Mansor (angkat berat) dan Heidi Gan dalam acara 10km renang maraton wanita.

Sukan Olimpik Rio de Janeiro dijadual berlangsung dari 5 hingga 21 Ogos ini.

Berita Harian X