Rabu, 29 Jun 2016 | 1:20pm

Wenger, Rodgers turut disenarai ganti Hodgson

 BRENDAN Rodgers dan Arsène Wenger.
BRENDAN Rodgers dan Arsène Wenger.

LONDON: Akhbar The Guardian pada Selasa melaporkan FA Inggeris dijangka melantik Gareth Southgate sebagai pengurus sementara untuk mengendalikan skuad kebangsaan negara itu bagi menggantikan Roy Hodgson.

Namun pada masa sama, timbul khabar angin terbaru yang mengaitkan Arsène Wenger dan Brendan Rodgers sebagai calon pengurus baharu The Three Lions memandangkan pengalaman luasnya mengendalikan kelab liga Perdana Inggeris.

Hodgson yang dibayar gaji sebanyak STG3.5 juta (RM18 juta) setahun yang dianggap gaji tertinggi bagi pengurus bola sepak di Eropah, meletak jawatan sejurus England tewas 2-1 di tangan Iceland dalam pusingan 16 terbaik Euro 2016 Isnin lalu.

Pengurus berusia 68 tahun itu memohon maaf kepada penyokong England yang kerap hampa menyaksikan pasukan pujaan mereka tewas kejohanan besar sejak sekian lama.

Sebelum ini bos FA, Martin Glenn bersama panel pemilihan jurulatihnya terdiri Dan Ashworth dan David Gill dikatakan sibuk mencari pengganti Hodgson yang meletak jawatan dan sedang meneliti pengurus kelab di EPL yang bakal tamat kontrak hujung musim ini.

Setakat ini, FA masih mengkaji calon paling sesuai iaitu pengurus yang tiada ikatan kontrak dengan mana-mana kelab untuk meneruskan tugas mengendalikan skuad kebangsaan England berdepan kempen pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 Russia yang bermula September ini.

Pada pusingan kelayakan itu, England diundi dalam Kumpulan F bersama Slovakia, Scotland, slovenia, Lhituania dan Malta. - Agensi

Berita Harian X