X
Rabu, 1 Jun 2016 | 8:12am

Skuad Euro 2016 - Austria

PEMAIN Austria, Marko Arnautovic menjaringkan gol pada perlawanan menentang Malta di Klagenfurt, Austria, awal pagi tadi. - Foto AFP
PEMAIN Austria, Marko Arnautovic menjaringkan gol pada perlawanan menentang Malta di Klagenfurt, Austria, awal pagi tadi. - Foto AFP

VIENNA: Pengendali Austria Marcel Koller awal pagi tadi menamakan barisan 23 pemain untuk Euro 2016 yang diketuai David Alaba dan Christian Fuchs, masing-masing pemenang gelaran liga di England.

Koller membuat pengumuman itu selepas skuad kendaliannya menewaskan Malta 2-1 pada aksi pemanas badan di Klagenfurt walaupun gol sendiri Alaba merencatkan sedikit kemenangan itu.

Gol awal oleh Marko Arnautovic dan Alessandro Schoepf membantu Austria menyambar kemenangan sebelum Alaba menyumbat gol sendiri pada minit ke-87 selepas silap menghantar bola ke belakang ketika penjaga golnya sedang berdiri dalam gawang.

Pemain berusia 23 tahun itu, yang masih segar dengan kejayaan mengecapi gelaran Bundesliga kelima bersama Bayern Munich, bakal diberi peranan penting untuk beraksi sebagai pemain tengah di Perancis, disamping Arnautovic dan Martin Harnik.

Penyerang veteran Marc Janko, yang mencetuskan kebimbangan kerana tahap kecergasannya diragui sebelum ini, akan mengetuai barisan serangan Austria disamping Rubin Okotie dan Lukas Hinterseer.

Austria layak secara merit buat kali pertama ke kejohanan ini selepas mencatat sembilan kemenangan dan satu seri, walaupun pernah bertanding pada Euro 2008 atas tiket sebagai tuan rumah.

Diundi dalam Kumpulan F, Austria akan membuka kempen menentang Hungary pada 14 Jun sebelum berdepan Portugal dan Iceland. - AFP

Skuad 23 pemain Austria

Penjaga Gol: Robert Almer (Austria Vienna), Heinz Lindner (Eintracht Frankfurt), Ramazan Oezcan (Ingolstadt)

Pertahanan: Aleksandar Dragovic (Dynamo Kiev), Christian Fuchs (Leicester City), Gyorgy Garics (Darmstadt), Martin Hinteregger (Borussia Moenchengladbach), Florian Klein (Stuttgart), Sebastian Prodl (Watford), Markus Suttner (Ingolstadt), Kevin Wimmer (Tottenham Hotspur)

Tengah: David Alaba (Bayern Munich), Marko Arnautovic (Stoke City), Julian Baumgartlinger (Mainz), Martin Harnik (Stuttgart), Stefan Ilsanker (RB Leipzig), Jakob Jantscher (Lucerne), Zlatko Junuzovic (Werder Bremen), Marcel Sabitzer (RB Leipzig), Alessandro Schoepf (Schalke)

Penyerang: Lukas Hinterseer (Ingolstadt), Rubin Okotie (1860 Munich), Marc Janko (Basel)

Berita Harian X