Isnin, 30 Mei 2016 | 10:14pm

MOM tak halang atlet tarik diri - Tunku Imran

PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar (kiri) dan diperhatikan Ketua Kontinjen Olimpik Rio 2016, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid (kanan) menunjukkan jadual pertandingan atlet pada sidang media pengumuman atlet yang telah layak ke sukan Olimpik Rio 2016 di Wisma OCM. - Foto Saifullizan Tamadi
PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar (kiri) dan diperhatikan Ketua Kontinjen Olimpik Rio 2016, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid (kanan) menunjukkan jadual pertandingan atlet pada sidang media pengumuman atlet yang telah layak ke sukan Olimpik Rio 2016 di Wisma OCM. - Foto Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak akan menghalang atlet negara yang sudah layak ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil menarik diri kerana bimbangkan virus Zika yang melanda negara itu.

Presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar, berkata atlet boleh membuat keputusan sendiri untuk menarik diri atau mengambil bahagian di temasya sukan paling besar di dunia itu yang dijadual bermula dari 5 hingga 21 Ogos depan.

"Atlet boleh memutuskan sendiri sama ada mahu pergi atau tidak kerana kami tidak boleh memaksa mereka. Kami akan gantikan mereka (atlet) jika dibenarkan oleh badan sukan masing-masing.

"Bagi MOM, kami akan ikut keputusan IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa). Saya pasti Brazil sebagai penganjur akan memastikan keadaan dan gelanggang adalah terkawal," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan MOM di sini, hari ini.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dalam kenyataannya baru-baru ini, menolak gesaan untuk mengubah lokasi temasya atau menunda Sukan Olimpik Rio de Janeiro berikutan penularan virus Zika.

Sebaliknya, WHO berkata tindakan itu tidak akan mengubah secara ketara penyebaran virus itu, yang dikaitkan dengan kecacatan kelahiran yang serius.

Kira-kira 150 ahli sains antarabangsa dan doktor menulis surat terbuka kepada WHO, meminta temasya di Rio de Janeiro itu ditukar ke lokasi lain atau ditunda akibat penularan virus tersebut.

Bagi tempoh antara Februari dan April 2016, Kementerian Kesihatan Brazil mencatat 91,387 kes yang dikaitkan dengan virus Zika dan jumlah bayi yang dilahirkan cacat akibat Zika pula adalah 4,908 pada April.

Setakat ini, 22 atlet negara telah melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik kali ini. Mereka ialah Khairul Anuar Mohamad (memanah), Mohd Azizulhasni Awang, Fatehah Mustapa (berbasikal), Ooi Tze Liang, Cheong Jun Hoong, Nur Dhabitah Sabri, Pandelela Rinong, Wendy Ng Yan Yee (terjun).

Khairulnizamn Mohd Affendy, Nur Shazrin Latiff (perahu layar), Jonathan Wong Guanjie (menembak), Welson Sim (renang), Nauraj Singh (olahraga) dan Mohd Hafifi Mansor (angkat berat).

Dalam acara badminton, jaguh perseorangan Datuk Lee Chong Wei, beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong, beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, perseorangan wanita Tee Jing Yi dan beregu wanita Vivian Hoo-Woon Khe Wei turut melayakkan diri.

Tunku Imran berkata kontinjen negara masih boleh menghantar sembilan atlet dalam empat acara sukan ke temasya itu mengikut kuota negara. - BERNAMA

Berita Harian X