Ahad, 17 April 2016 | 3:06pm

Donald mula langkah bergaya di Hilton Head

 LUKE Donald. - Foto AFP
LUKE Donald. - Foto AFP

LOS ANGELES; Bekas pemain nombor satu dunia, Luke Donald berusaha untuk menamatkan kemarau kejuaraannya apabila kembali muncul pendahulu kejohanan Jelajah PGA RBC Heritage, semalam dengan kelebihan satu pukulan.

Pemain kelahiran Britain itu melakukan dua bawah par 69 di Lapangan Golf Harbour Town Golf Links di Hilton Head, South Carolina pada pusingan ketiga itu untuk meninggalkan dua pemain Amerika Syarikat (AS) Jason Kokrak dan Charley Hoffman dengan kelebihan satu pukulan.

Tujuh pemain ketinggalan tiga pukulan di belakang pendahulu namun ia tidak termasuk pemain nombor satu dunia, Jason Day yang menguasai pusingan kedua, kelmarin.

Selepas melakukan bogey pada lubang pertama, segala-galanya nampak tidak menjadi buat Day yang turut melakukan bogey berganda pada lubang ketiga untuk secara keseluruhan lapan bogey untuk menghuni kedudukan ke-40.

Day berkata, selepas mengetahui dia sudah pun terkeluar daripada saingan kejuaraan, dia memberi tumpuan untuk tidak mengganggu rakan gandingannya Kevin Chappell yang memburu kejuaraan PGA pertama.

"Saya benar-benar tidak mahu menjadi penghalang Kevin," kata Day. "Saya tahu dia amat mahu memenangi kejohanan ini. Dia memperoleh dia kedudukan tempat kedua tahun ini.

"Dan ketika saya bermain buruk, saya hanya merasakan saya sudah mengganggunya."

Dalam pada itu, Donald yang pernah mengakhiri saingan di kedudukan tiga teratas pada lima penampilannya di Harbour Town sebelum ini gembira dengan kedudukan yang diraihnya.

"Saya tidak pernah merasa teruja untuk berada di posisi ini seperti yang pernah saya lalui sejak beberapa tahun lalu," kata Donald yang gagal memenangi sebarang kejuaraan di Jelajah Eropah dan AS sejak 2012 dan menghuni ranking ke-95 dunia ketika ini.

Kali terakhir Donald hampir memenangi kejohanan di Harbour Town ialah pada 2011 apabila Brandt Snedeker memaksanya untuk beraksi pada playoff dan memenanginya menerusi birdie pada lubang tambahan ketiga. - AFP

Berita Harian X